SINDUMIN, – Kerusi N.35 Sindumin muncul antara tumpuan utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini apabila bakal menyaksikan pertembungan 10 penjuru, termasuk calonnya daripada Perikatan Nasional (PN), Dayang Nor Syafiqah Abdul Hamid, yang tampil sebagai calon wanita muda mewakili gabungan tersebut.
Kempen “Sentuhan Dayang” yang dibawanya dilihat menarik perhatian sebahagian masyarakat setempat, khususnya apabila pendekatan turun padang dan mendengar secara langsung keluhan rakyat dijadikan teras utama gerak kerja di lapangan.
Kempen tersebut dimulakan melalui sesi walkabout di Pasar Sindumin, dengan Dayang Nor Syafiqah berinteraksi bersama peniaga dan pengunjung bagi mendapatkan gambaran sebenar cabaran harian masyarakat, termasuk isu kenaikan harga barang, kemudahan asas, peluang ekonomi serta kesejahteraan keluarga.
Menerusi beberapa kunjungan ke kampung sekitar kawasan itu, penduduk turut mengambil peluang menyuarakan pelbagai isu, antaranya melibatkan keadaan infrastruktur asas yang memerlukan perhatian segera, akses kepada kemudahan awam serta keperluan sokongan berterusan untuk golongan rentan.
Sebagai calon wanita muda, Dayang Nor Syafiqah dalam beberapa pertemuan bersama penduduk menegaskan bahawa fokus kempen yang dibawanya adalah usaha mendengar, memahami dan mencari penyelesaian terhadap keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi, berbanding sekadar melontarkan janji.
Pendekatan “Sentuhan Dayang” diterjemahkan melalui kehadiran konsisten di lapangan serta interaksi langsung bersama pelbagai lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, ibu tunggal, warga emas dan golongan belia.
Dalam masa sama, kerusi Sindumin turut menyaksikan persaingan sengit dengan penyertaan calon daripada beberapa parti lain serta calon bebas.
Sebahagian pengundi yang ditemui menyatakan keterbukaan untuk menilai semua calon bertanding berdasarkan pendekatan, tawaran serta keupayaan menyelesaikan isu setempat, selain mengharapkan kepimpinan baharu yang lebih tersusun, telus dan benar-benar dekat dengan rakyat.



