KUALA LUMPUR – Exco Industri dan Pelaburan Kedah Dr Haim Hilman Abdullah tampil menjernihkan kecaman terkait isu tulisan Cina pada batu asas majlis pecah tanah di Kedah Rubber City baru-baru ini.
Haim menegaskan Pas dan Perikatan Nasional (PN) bukan jumud seperti tuduhan yang dilempar seteru politik blok pembangkang itu.
“Ramai seteru politik cuba memainkan isu tulisan Cina pada batu asas pada majlis pecah tanah di Kedah Rubber City (KRC) baru-baru ini. Hakikatnya, tulisan Melayu tetap ada, ucapan rasmi dalam Bahasa Melayu dan bendera Kedah serta Malaysia berkibar megah.
“Pelabur dari luar datang membawa teknologi, peluang pekerjaan dan rezeki untuk rakyat. Kita sebagai tuan rumah menghormati identiti mereka, sama seperti mereka menghormati bahasa dan budaya kita yang berbilang kaum.
“Pas dan PN bukan jumud. Kita tak pernah halang kemajuan, tak pernah sekat hak sesiapa untuk beragama atau berbangsa. Kita mempertahankan identiti negara, tetapi dalam masa sama membuka pintu pelaburan berbilion ringgit demi masa depan rakyat.
“Rupanya, mereka takut dengan batu asas yang yang bertulisan Cina yang bermaksud ‘meletakkan asas’. Mereka pandang bendera Kedah sebagai bendera Negara China. Apa yang membuatkan mereka begitu fobia? soal beliau dalam hantaran di Facebooknya.
Tambah Adun Jitra itu, kalau kononnya Pas dan PN anti-kaum lain, mana mungkin Kedah jadi antara negeri yang paling pesat tarik pelaburan Jepun, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China? Mana mungkin ribuan peluang pekerjaan diwujudkan? Mana mungkin syarikat asing beratur nak masuk?
“Kalau rakyat Sabah mahukan masa depan yang lebih stabil, lebih maju dan lebih terbuka, percayalah undi pada calon Pas dan PN adalah undi untuk kemajuan, kestabilan dan masa hadapan Sabah yang lebih baik. Buktinya kita dah tunjukkan di Kedah.
“Di Sabah nanti jika PN memerintah, silakan amal budaya dan agama masing-masing. Bahkan Sabah akan menjadi lebih maju dengan hasil bumi yang banyak dan kejujuran pemimpin yang PN tawarkan,” seru Haim.
18 Nov lalu Kedah Rubber City (KRC) menerima suntikan pelaburan berjumlah RM2.6 bilion daripada syarikat pengeluar tayar dari China, Prinx Chengshan Holdings Ltd.
Pelaburan bagi pembinaan kilang pembuatan tayar itu sekali gus menjadi pelabur pertama di taman perindustrian tersebut.
Projek kilang pintar dan mesra alam itu dengan sokongan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), melibatkan peruntukan RM1.2 bilion bagi fasa pertama dan RM1.4 bilion bagi fasa kedua dalam tempoh 15 tahun.
Haim berkata, fasiliti seluas 41.5 hektar itu dijangka mampu mengeksport produk pertamanya dalam tempoh setahun, sekali gus mewujudkan 1,056 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya, Prinx Chengshan melalui anak syarikatnya, Prinx Tire (Malaysia) Sdn. Bhd. (PTM) turut memaklumkan beberapa vendor di bawah mereka telah memberikan komitmen awal untuk melabur di KRC
“Ini satu pencapaian yang memberangsangkan, bagi kerajaan negeri kami kekal komited menjadikan KRC sebagai hab pelaburan strategik.
“Kilang ini dijangka mengeksport produk pertama dalam masa setahun. Kita harap perkara ini menjadi kenyataan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah.
KRC dirancang sebagai projek berimpak tinggi nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030 dan berfungsi sebagai taman perindustrian getah khusus pertama Malaysia.
Sementara itu, Haim Hilman berkata, pihaknya menyasarkan sehingga 80 peratus tenaga kerja tempatan bagi memaksimumkan manfaat kepada rakyat Kedah serta memastikan berlakunya pemindahan ilmu secara berkesan.
Beliau berkata, kilang baharu itu serta pelabur-pelabur industri getah lain yang bakal memasuki kawasan itu pada peringkat awal ini akan bergantung kepada bekalan getah import disebabkan kekurangan bekalan tempatan.
Namun, katanya, usaha sedang digerakkan bagi memastikan komuniti setempat dan pengusaha tanaman getah dapat memenuhi permintaan tersebut.



