KUALA LUMPUR, 15 November — Dua organisasi alam sekitar Greenpeace Malaysia dan Save Malaysia Stop Lynas (SMSL)hari ini menuduh kerajaan “terlalu berlembut” dengan syarikat Australia itu dan memberi amaran bahawa Malaysia kini sedang diheret menjadi ‘hab pencemaran nadir bumi’ serantau.
Dalam sidang media bersama di ibu negara, kedua-dua kumpulan itu mempersoalkan dasar kerajaan yang terus membenarkan Lynas beroperasi sehingga 2026, serta membayangkan kemungkinan meluluskan pembaharuan Full Operating Stage Licence (FOSL) syarikat tersebut.
Menurut mereka, tiada justifikasi saintifik atau regulatori yang kukuh untuk mempertahankan operasi Lynas, apatah lagi melanjutkan lesen mereka.
SMSL mendedahkan bahawa dakwaan kerajaan kononnya Lynas boleh memisahkan unsur radioaktif thorium daripada sisa Water Leach Purification (WLP) adalah “mengelirukan, tidak praktikal dan tidak disokong bukti saintifik.”
Pengerusinya, Tan Bun Teet berkata, “Tiada sebarang data, tiada laporan saintifik, tiada projek pengekstrakan thorium yang benar-benar berlaku. Malah Nuklear Malaysia mengesahkan projek itu tidak pernah wujud, walaupun kerajaan meluluskan geran.”
WLP — sisa utama yang dijana di fasiliti Lynas di Gebeng — mengandungi purata 1,758 ppm thorium, unsur radioaktif dengan jangka hayat 14 bilion tahun.
Flip-flop dasar kerajaan, naratif Lynas berubah-ubah
Greenpeace dan SMSL menuduh kerajaan terlibat dalam dasar flip-flop bertahun-tahun, yang menyebabkan rakyat terus menanggung risiko sisa radioaktif:
2012: Lesen asal mewajibkan sisa radioaktif dihantar keluar dari Malaysia.
2014: Lynas cuba guna semula sisa untuk produk industri — kerajaan tolak pada 2018.
2019: Kerajaan arah operasi Cracking & Leaching dipindahkan ke Australia sebelum 2023.
Oktober 2023: Arahan itu dibatalkan, Lynas diberi lanjutan operasi hingga 2026.
Malah, naratif Lynas sendiri turut berubah-ubah — daripada mendakwa sisa boleh dikitar semula, kepada kononnya cukup selamat untuk dibuang sebagai sisa domestik. Kedua-duanya tidak pernah disahkan secara bebas.
Malaysia tidak boleh dibina atas sisa radioaktif
Campaign Lead Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun, berkata Malaysia memerlukan model ekonomi baharu yang berdasarkan keselamatan rakyat, bukan kompromi terhadap bahan radioaktif.
“Malaysia berhak kepada masa depan yang bersih dan selamat — bukan ekonomi yang bergantung kepada sisa radioaktif dan janji yang tak ditepati.”
Hentikan lesen, pindahkan operasi, dedahkan data radiasi
Greenpeace Malaysia dan SMSL mengemukakan empat tuntutan utama kepada kerajaan:
1. Tolak pembaharuan lesen FOSL Lynas pada 2026.
2. Paksa Lynas pindahkan operasi Cracking & Leaching ke Western Australia, seperti komitmen asal.
3. Laksana kajian saintifik bebas terhadap impak kesihatan dan alam sekitar.
4. Dedahkan data pemantauan radiasi secara real-time kepada orang ramai.
5. Tuntut Lynas keluarkan semua sisa radioaktif dari Malaysia, seperti janji lesen 2012.



