PRN Sabah rekodkan 596 Calon, Calon tertua berumur 86 tahun

KOTA KINABALU,– Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan sebanyak 596 calon sah bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, selepas proses penamaan calon ditutup tepat jam 10.00 pagi di 25 Pusat Penamaan Calon seluruh negeri.

Menurut SPR, keseluruhan 73 kerusi DUN akan menyaksikan pertandingan sangat sengit dengan penyertaan puluhan parti politik serta calon bebas yang meningkat berbanding pilihan raya terdahulu.

Daripada jumlah keseluruhan calon, calon bebas mencatat angka tertinggi dengan 74 orang, diikuti Parti Warisan Sabah yang meletakkan 73 calon, manakala Parti Impian Sabah tampil dengan 72 calon. Selebihnya merangkumi gabungan parti-parti utama lain yang bertanding di seluruh Sabah.

SPR turut mendedahkan data terperinci mengenai karakteristik calon, termasuk jumlah pertandingan mengikut penjuru. Dua kerusi menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala paling tinggi ialah satu kerusi yang mencatatkan perebutan sehingga 14 penjuru. Sebanyak empat kerusi pula merekodkan persaingan 13 penjuru dan enam kerusi lain melibatkan 11 penjuru.

Dari segi jantina, calon lelaki mendominasi dengan 525 orang, manakala hanya 71 calon wanita bertanding.

Statistik umur menunjukkan majoriti calon berada dalam kelompok warga emas, dengan 205 calon berusia 60 tahun ke atas. Calon berumur antara 50 hingga 59 tahun pula mencatatkan 178 orang, diikuti 146 calon dalam lingkungan 40 hingga 49 tahun. Hanya lapan calon merupakan anak muda berusia antara 20 hingga 29 tahun.

SPR turut mengumumkan calon paling tua dan paling muda bagi PRN Sabah kali ini. Calon tertua berusia 86 tahun, bertanding di DUN Bingkor mewakili Parti Kebangsaan Sabah (PKS). Sementara itu, calon termuda berusia 24 tahun juga daripada PKS bertanding di DUN Silam.

Dengan jumlah pencalonan yang besar serta pertarungan berbilang penjuru di hampir semua kerusi, PRN Sabah Ke-17 dijangka menjadi antara pilihan raya negeri paling kompetitif dalam sejarah moden Sabah. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat