KUALA LUMPUR- Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu.
Pelantikan ini selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, berkuat kuasa mulai 15 November 2025.
Pelantikan Fadlun, 58, telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya, lapor BH.
Sebelum pelantikan ini, beliau telah menyandang sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022.
Sementara itu, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri (TPr) Dr. Maimunah Mohd Sharif dilantik oleh Petronas sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November 2025 bagi memperkukuh strategi pembangunan dan pengurusan portfolio hartanah syarikat.
Pelantikan tokoh berpengalaman lebih empat dekad dalam pembangunan bandar mampan itu akan memacu fasa pertumbuhan baharu aset hartanah Petronas, termasuk projek di tanah Sungai Besi dan pembangunan Kota Madani.
Petronas dalam kenyataan berkata, Maimunah sebelum ini ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pernah menerajui beberapa jawatan utama dalam serta luar negara, termasuk Presiden wanita pertama Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Datuk Bandar Pulau Pinang, memetik Utusan.
Di peringkat antarabangsa, beliau mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama dilantik sebagai Setiausaha Agung Penolong dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), selain pernah memangku jawatan Ketua Pengarah Pejabat PBB di Nairobi.
Petronas berkata, sepanjang kerjayanya, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Kepimpinan di World Smart City Awards (Barcelona) dan Anugerah Kepimpinan Terbaik kategori Bandar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Kami yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau akan menjadi nilai tambah kepada hala tuju syarikat dalam pembangunan hartanah strategik,” katanya.



