KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) Sabah kini melengkapkan senarai calonnya kepada 45 orang selepas menambah empat lagi calon baharu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan mutakhir dan hasil rundingan lanjut dengan kepimpinan parti di pelbagai peringkat.
“Penambahan ini adalah langkah strategik bagi memperkukuh barisan kepimpinan serta memastikan representasi BN yang lebih menyeluruh, berimbang dan selaras dengan keperluan rakyat serta dinamika politik semasa negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Empat calon tambahan yang diumumkan ialah, N.06 Bandau – Willey Lampaki, N.43 Kemabong – Rahmah Jan binti Sulaiman, N.54 Karamunting – Dato’ Chin Kim Hiung, N.70 Kukusan – Chaya binti Sulaiman.
Dengan penambahan ini, BN Sabah kini akan bertanding di 45 daripada 73 kerusi DUN.
Bung Moktar berkata, langkah itu menunjukkan komitmen berterusan BN untuk memastikan setiap komuniti diwakili dan menerima pembelaan sewajarnya melalui calon-calon yang berwibawa serta berpengalaman.
“Saya menyeru seluruh jentera parti untuk menggiatkan persiapan dengan lebih tersusun dan fokus bagi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada Barisan Nasional,” katanya.
Sebelum ini, BN Sabah telah mengumumkan senarai 41 calon pertamanya pada Ahad lalu dalam satu majlis pelancaran jentera pilihan raya di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Bung Moktar turut menzahirkan keyakinan bahawa barisan 45 calon BN mampu memperkukuh kestabilan politik negeri serta mengangkat Sabah ke arah pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.
“Saya berdoa agar semua calon dan jentera diberikan kekuatan, keberanian dan kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya.



