“Tiada rayuan, tapi akan merayu alasan penghakiman ia tetap adalah satu rayuan” – Presiden UPKO

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mendedahkan sepanjang hampir tiga tahun dalam Kabinet Persekutuan, setiap kali isu 40 peratus dibincangkan jawapan balas yang saya terima adalah sama seperti yang disampaikan di Tamu Gaya Street.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim konsisten menjelaskan, bahawa “kutipan hasil di Sabah hanya RM10 bilion, namun jumlah kewangan diperuntukkan kepada negeri Sabah mencecah RM17 bilion”.

Justeru tegas Ewon beliau dan UPKO kekal dengan pendirian bahawa tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List) dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak 40 peratus Sabah adalah berbeza.

“Federal List adalah perkara dasar, manakala hak 40 peratus Sabah adalah perkara undang-undang yang istimewa untuk Sabah.

” Beberapa negeri lain juga mempunyai hak istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak ada kepada Sabah.

“⁠Rakyat Sabah memerlukan pembayaran semula hak 40 peratus yang boleh digunakan oleh Kerajaan Sabah untuk pembangunan infrastruktur dan ameniti, pembasmian kemiskinan, program ekonomi, keusahawanan dan pelbagai inisiatif pembangunan lain.

“Sebab itu sepanjang hampir tiga tahun dalam Kabinet Persekutuan, setiap kali isu 40 peratus dibincangkan, saya menyatakan pendirian dan pandangan saya. ⁠Jawapan balas yang saya terima adalah sama seperti yang disampaikan di Tamu Gaya Street.

“Sebab itu janggal untuk saya meneruskan keberadaan dalam Kabinet Persekutuan, lebih-lebih lagi selepas Penghakiman Bertulis dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid yang merekodkan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) ke atas Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS),” jelas beliau dalam kenyataan.

Menurut Ewon lagi, selepas Mesyuarat Khas Kabinet Persekutuan semalam, Jabatan Peguam Negara menyatakan kenyataan yang berkepala “Isu 40 Peratus Hasil: Tiada Rayuan, Rundingan Dimulakan Segera” tetapi kenyataan yang sama turut menyimpulkan “akan merayu kecacatan dalam Alasan Penghakiman”.

“An appeal is an appeal. Tiada rayuan, tapi akan merayu Alasan Penghakiman. Ianya tetap adalah satu rayuan.

“Pendirian dan pandangan AGC dalam prosiding Semakan Kehakiman itu menyegerakan perletakan jawatan saya, dan hari ini, kenyataan AGC “justify” sebab saya meletak jawatan sepertimana ucapan saya di Konvensyen UPKO Penampang.

“Saya meletakkan jawatan atas sebab prinsip. Saya menjangka Notis Rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan atas alasan sepertimana dinyatakan oleh AGC.

“Asas alasan dan dapatan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu saling berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Sekiranya Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa sebahagian dapatan Mahkamah Tinggi itu adalah salah, keputusan keseluruhan ke atas hak 40 peratus Sabah boleh dilihat sebagai telah terjejas.

“Walaupun AGC menyatakan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan hak 40 peratus, tetapi jika Mahkamah Rayuan membatalkan keseluruhan penghakiman Mahkamah Tinggi, maka keputusan mengiktiraf hak 40 peratus itu juga akan terbatal,” kata Ewon.

Sebab itu ujar beliau, Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO kelmarin menyimpulkan “hanya parti-parti tempatan Sabah sahaja yang betul-betul memahami denyutan nadi, jiwa, wawasan, impian masa depan Sabah” berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963.

Justeru seru beliau, sudah tiba masanya rakyat Sabah memilih parti-parti tempatan yang berprinsip untuk menerajui Kerajaan Sabah supaya boleh memperjuangkan agenda Sabah First ini secara berkesan.

“Saya mengimpikan Kerajaan Sabah itu betul-betul dianggotai oleh hanya parti-parti tempatan Sabah sama seperti di awal kemerdekaannya pada tahun 1963,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat