KUALA LUMPUR -Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi mendesak kerajaan mengembalikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar.
Setiausaha Agung Umno itu sekali gus menolak naratif yang dibawa Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad bahawa beliau tidak bersetuju pencapaian murid kini dinilai menerusi peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu dibuat secara holistik dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja cemerlang atas kertas, tetapi juga bersahsiah tinggi.
Azam tidak menolak sistem pendidikan negara cuma akan melahirkan generasi burung kakaktua sekiranya cenderung bergantung kepada keputusan peperiksaan untuk menilai perkembangan seseorang murid.
Justeru Asyraf membidas bahawa alasan yang dikemukakan Ketua Pengarah Pendidikan itu sebagai tidak munasabah.
“Alasan tidak munasabah. Kalau benar peperiksaan melahirkan generasi ‘burung kakaktua’, maka SPM juga patut dimansuhkan. Peperiksaan seperti UPSR untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar. Wajar dikembalikan!
“Peperiksaan penting kerana ia memainkan banyak peranan dalam pembentukan diri dan masa depan seseorang. Ini lima alasan penting kenapa UPSR wajar dikembaikan – peperiksaan membantu pelajar menilai sejauh mana mereka memahami dan menguasai ilmu yang telah dipelajari. Ia juga membantu guru mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki atau ditekankan semula.
“Peperiksaan juga mencanai sifat disiplin dan tanggungjawab. Apabila wujud peperiksaan dengan sendirinya memerlukan perancangan, usaha gigih, dan disiplin masa. Ini membentuk sikap bertanggungjawab dan tabah menghadapi tekanan. Ini antara nilai yang penting dalam kehidupan sebenar.
“Peperiksaan seperti UPSR untuk sekolah rendah penting untuk proses penyaringan bagi kemasukan ke peringkat lebih tinggi termasuk SBP, MRSM, SMKA, Vokasional dll.
“Selain itu, peperiksaan mendorong pelajar berusaha lebih keras, meningkatkan daya saing yang sihat dan semangat untuk berjaya,” jelas Asyraf lagi.
Menurut beliau, proses menghadapi peperiksaan mendidik erti sabar, tawakal, dan redha.
“Ia juga mengajar bahawa kejayaan memerlukan usaha berterusan dan tidak datang dengan mudah,” ujarnya.
Senada dengan Asyraf, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan, generasi burung kakaktua ni sebenarnya adalah pegawai di kementerian yang tidak mahu mendengar keluhan guru-guru dan ibu bapa di bawah ini.
“Dengar sendiri masalah mereka,bukan sibuk nak meniru negara lain dan bukan sibuk nak mengatakan ini pandangan pakar lah bagai tanpa memahami kesukaran guru,ibu bapa dan anak-anak di bawah ini.
“Atas kertas tak sama dengan realiti di bawah wahai ketua pengarah.
“Oh ya,ketua pengarah juga adalah generasi yang dahulunya menduduki peperiksaan kan,jadi jangan jadi seperti kakaktua yang hanya arahan sahaja juga ya,” selar Akmal.
Terdahulu Azam berkata, mengembalikan semula peperiksaan utama ke sistem persekolahan selepas dimansuh dan dibatalkan Kementerian Pendidikan (KPM) hasil kajian mendalam dan libat urus menyeluruh, dikhuatiri menjadi ancaman dalam membina generasi masa depan negara ini.
Beliau tidak bersetuju pencapaian murid kini dinilai menerusi peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu dibuat secara holistik dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja cemerlang atas kertas, tetapi juga bersahsiah tinggi.
Azam juga tidak menolak sistem pendidikan negara cuma akan melahirkan generasi burung kakaktua sekiranya cenderung bergantung kepada keputusan peperiksaan untuk menilai perkembangan seseorang murid.
“Pada 2012, kita ada Dialog Nasional Pendidikan. Kita buat libat urus dengan semua kumpulan termasuk ahli akademik, pemegang taruh, ibu bapa, masyarakat dan pegawai kerajaan.
“Dalam dialog itu, antara lain kita kata, adalah kita tak nak lahirkan murid seperti burung kakaktua yang pandai cakap tapi dia tak faham. Maksudnya, kita tak nak lahirkan murid yang cemerlang atas kertas tetapi dia tak boleh gunakan ilmu serta tak boleh juga menyumbang.
“Kita tak nak lahirkan (generasi) burung kakaktua. Kita tak nak lahirkan murid cemerlang atas kertas. Maka keluarlah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan kita pun lakukan transformasi daripada pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan perkembangan. Itu rentetannya.
“Yang kita nak sekarang adalah dia (murid) ada ilmu, ada kemahiran tapi dia juga ada nilai diri, akhlak mulia, keseimbangan emosi dan keseimbangan psikologi kerana dunia (sudah) hidup dengan robot.
“Peperiksaan ini satu ancaman dalam kita membina generasi masa depan. Ia akan menjadikan semua guru spoon-feed nak lihat kejayaan kognitif dan kejayaan akademik saja serta nak lihat kecemerlangan sekolah, sedangkan dia kena bina generasi,” katanya kepada BH.
Kementerian Pendidikan memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah secara menyeluruh dalam usaha mengurangkan tekanan akademik serta mengalihkan fokus daripada sistem hafalan kepada pemahaman dan aplikasi ilmu secara holistik.



