KUALA LUMPUR – Rakyat Sabah memerlukan seorang pemimpin yang menjaga hubungannya dengan Allah, menjaga hubungan sesama manusia dan mengajak rakyat untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kerosakan, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Justeru, ciri- ciri ini beliau lihat ada pada Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
“Saya yakin, kemenangan Dr Aliakbar dan calon- calon PN nanti bakal mengubah landskap politik Sabah ke arah Sabah yang lebih baik, insya-Allah,” ujar Pengerusi PN Pahang itu.
Menurut Tuan Ibrahim, kali ini agak janggal berlaku di Sabah. Belum pernah lagi dalam sejarah politik Sabah mempunyai calon bebas yang masuk bertanding dalam pilihan raya membentuk suatu pakatan ahli bebas.
Namun katanya, diambang PRN kali ini, kita mendengar Gelombang Hitam akan bertanding dalam PRN Sabah. Ada sesuatu yang pelik dan rakyat Sabah perlu betul-betul mempertimbangkan calon PRN yang akan menawarkan diri mereka.
“Perikatan Nasional akan meletakkan calon-calonnya dalam PRN Sabah, menawarkan khidmat yang terbaik buat rakyat Sabah. Karambunai merupakan salah satu DUN dari 73 DUN di Sabah yang akan ditandingi oleh seorang calon yang berwibawa, Datuk Dr. Aliakbar.
“Beliau bukanlah orang yang asing di DUN ini. Beliau merupakan tokoh yang sudah lama bergelumang dengan kehidupan rakyat tanpa perlu menunggu pilihan raya.
“Alhamdulillah, saya melihat respon positif daripada para pengundi di Kampung Lokub apabila turun berprogram bersama Dr. Aliakbar.
“Sudah tiba masanya rakyat memilih seorang individu yang bekerja untuk rakyat dan boleh membawa suara mereka dalam DUN Sabah.
“Rakyat Karambunai sudah memilih wakil mereka daripada pelbagai parti semenjak dahulu, namun kali ini berikan peluang kepada wakil yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional iaitu Datuk Dr Aliakbar,” kata Tuan Ibrahim.
Pas dijangka bakal merebut lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya kali ini.



