KUALA LUMPUR – Umno sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan kehadiran semula mana-mana ahli yang masih setia serta percaya kepada perjuangan asal parti, termasuk yang pernah digantung atau dipecat sebelum ini.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh berkata, sejak tahun pertama memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda, beliau menegaskan parti itu tidak boleh terus berpecah dan perlu kembali disatukan demi kekuatan parti.
“Umno perlu disatukan. Kita nak mengalu-alukan kehadiran semula mana-mana ahli yang masih setia dan percaya kepada perjuangan Umno,” katanya selepas forum Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru lapor Utusan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kembali ke dalam parti selepas kelibatnya hadir ke Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL).
Dr Akmal berkata, parti mempunyai saluran yang jelas bagi mana-mana individu yang ingin kembali dan keterbukaan itu bukan hanya tertumpu kepada Khairy semata-mata.
“Ada salurannya. Bukan sahaja untuk KJ, tapi semua yang digantung atau pernah keluar parti. Kalau naluri perjuangan mereka masih bersama Umno, kita ucapkan selamat datang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, Umno tidak pernah menghalang mana-mana pimpinan untuk bertemu dengan ahli yang digantung atau dibuang kerana parti itu mengamalkan prinsip keterbukaan.
“Umno tak pernah halang mana-mana pimpinan jumpa ahli yang digantung atau dibuang.
“Saya sendiri pernah berjumpa dengan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Itu tanda keterbukaan Umno. Tak perlu gaduh lama-lama, biar kita bersatu dan bertaut semula,” katanya.



