KUALA LUMPUR — Seorang penyanyi dari Amerika Syarikat, Brittany Porter, mendakwa bahawa beliau telah berkahwin dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, tanpa menyedari bahawa upacara yang dijalankan adalah satu pernikahan sah mengikut hukum Islam. Dakwaan itu dilaporkan oleh South China Morning Post (SCMP) dalam satu laporan khas.
Menurut SCMP, Porter, 30, menyangka upacara yang berlangsung ketika pasangan itu berada di Oman pada April 2024 hanyalah satu majlis pertunangan.
Menurutnya, beliau menjalani proses pengislaman dan satu upacara bersama imam, namun tidak dimaklumkan bahawa ia merupakan akad nikah yang sah.
Beliau mendakwa hanya mengetahui status tersebut setahun kemudian selepas hubungan dengan Sultan mula tegang dan komunikasi terputus.
Porter dan Sultan Muhammad V dilaporkan mula berkenalan di New York pada Januari 2024 melalui rakan-rakan mereka.
Hubungan tersebut berkembang dengan pertemuan dan percutian ke beberapa lokasi luar negara, selain dakwaan bahawa Porter menerima hadiah mewah dan layanan istana ketika berada di Malaysia.
Beliau mendakwa turut dirujuk sebagai “Che Puan” semasa pulang ke Kelantan, gelaran yang diberikan kepada wanita bukan diraja yang berkahwin dengan kerabat.
Hubungan pasangan itu dikatakan mula bermasalah selepas Porter mengalami keguguran pada Julai lalu, sebelum Sultan didakwa tidak lagi menghubunginya sejak Oktober.
Porter mendakwa beliau terbang ke Malaysia dan kemudian ke Singapura untuk mendapatkan penjelasan, namun tidak berjaya bertemu.
Menurut laporan SCMP, Porter kini menuntut kepastian tentang status hubungan tersebut dan mahu proses perceraian yang sah.
Beliau juga mendakwa telah membaca mengenai kaedah talak namun tidak menemui sebarang bukti bahawa perceraian mengikut hukum syariah telah berlaku.
Porter sejak itu mula mendedahkan dakwaannya di media sosial dan turut menghasilkan karya muzik berdasarkan pengalamannya.
Sehingga laporan SCMP diterbitkan, tiada kenyataan rasmi daripada Sultan Kelantan atau wakil baginda berhubung dakwaan tersebut.-Suara.TV


