KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menerima pelaburan bernilai RM600 juta menerusi projek usahasama antara JS Link Inc. dari Korea dan Lynas Rare Earths Ltd sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab utama dalam rantaian bekalan mineral unsur nadir bumi (REE) global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, projek strategik itu akan menyaksikan pembinaan loji pembuatan magnet nadir bumi di Malaysia yang dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan industri bahan termaju dan teknologi bersih.
“Usahasama ini bukan sekadar membawa masuk pelaburan baharu bernilai RM600 juta, tetapi turut membuka peluang kepada pemindahan teknologi, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mewujudkan rantaian bekalan yang lebih selamat dan telus,” katanya menerusi kenyataan semalam, selepas menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan pihak pengurusan JS Link Inc. dan Lynas Rare Earths di Gyeongju, Korea, sempena program lawatan kerja rasmi ke negara itu.
Menurut Tengku Zafrul, kerjasama strategik antara JS Link dan Lynas mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kekuatan ekosistem industri Malaysia, khususnya dalam bidang pengeluaran dan pemprosesan mineral kritikal.
“Lynas, sebagai pengeluar nadir bumi terbesar di luar China, bersama JS Link yang berhasrat membina rantaian bekalan magnet mampan, akan memperkukuh peranan Malaysia dalam pasaran global bahan termaju.
“Ini selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju serantau dalam pembangunan industri nadir bumi dan teknologi hijau,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, pihaknya komited memastikan pelaburan strategik seperti ini terus disokong dengan dasar mesra pelabur, infrastruktur bertaraf dunia dan tenaga kerja kompeten.



