KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon ampun kerana tidak dapat bersama mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain atas kekangan urusan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memulakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain.
“Patik mendoakan semoga keberangkatan Tuanku dan delegasi dirahmati Allah SWT serta dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan sepanjang lawatan negara ini.
“Patik mohon ampun kerana tidak dapat bersama mengiringi keberangkatan Tuanku atas kekangan urusan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Patik penuh yakin bahawa lawatan negara ini akan membawa limpahan manfaat serta pulangan yang terbaik buat rakyat dan negara.
“Daulat Tuanku! ujar Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke negeri Pahang yang dijadualkan berlangsung pada Ahad selepas mengalami masalah sakit belakang.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pembatalan tersebut dibuat pada saat akhir atas nasihat pasukan perubatan selepas mengalami kesakitan yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas
Sementara itu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Arab Saudi dan Bahrain hari ini (3 November) bagi lawatan negara.
Istiadat Mengucap Selamat Berangkat bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda berlangsung di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Bersempena istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das dan lagu Negaraku.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda.
Hadir sama,Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul; Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri. Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut hadir, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi; Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan dan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara serta Ketua-ketua Perkhidmatan.
Lawatan negara ke Arab Saudi mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-7 Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.



