KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memohon maaf berhubung cara beliau menangani soalan daripada seorang wartawan ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ baru-baru ini.
Kor Ming berkata, beliau menerima semua teguran dengan hati terbuka berhubung isu tersebut dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.
“Saya tarik balik dan saya mohon maaf. Saya menerima semua teguran dengan hati terbuka dan enggan memanjangkan isu ini kerana mahu menumpukan sepenuhnya kepada kerja membina semula negara di bawah gagasan Kerajaan Madani.
“Sekiranya ada rakan-rakan media yang terasa hati dengan kata-kata saya, saya tarik balik dan mohon maaf.
“Saya mahu kita semua fokus kepada membina tanah air tercinta ini. Sepanjang hampir 30 tahun dalam perkhidmatan, saya sentiasa menghormati kebebasan media dan kebebasan bersuara,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Taman Madani di Taman Boon Bak di Ipoh, lapor Utusan semalam.
Sebelum ini, Kor Ming dilapor mempertahankan tindakannya menegur seorang wartawan bertanyakan mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam slogan kempen rasmi kerajaan iaitu prapelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kor Ming menegaskan bahawa interaksi antara wartawan dan individu yang ditemu bual haruslah bersifat dua hala yang mana kedua-dua pihak mempunyai hak masing-masing.
Sementara itu, Utusan Malaysia menyambut baik permohonan maaf Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bagi menyelesaikan isu yang membabitkan wartawan akhbar ini.
Pengarang Kumpulan Media Mulia penerbit akhbar Utusan Malaysia, Mohamad Azlan Jaafar berkata, kesediaan Kor Ming meminta maaf kepada media mengakhiri kemelut itu dan membolehkan semua pihak meneruskan tugas masing-masing tanpa gangguan.
Katanya, pengurusan Utusan Malaysia memilih untuk berdiam diri sepanjang isu ini bagi mengelak keadaan menjadi lebih rumit kepada semua pihak yang terbabit.
“Utusan Malaysia berterima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana mengakhiri semua polemik ini.
“Kami juga berterima kasih kepada semua pihak daripada ahli politik sehingga orang biasa yang tampil mempertahankan wartawan Utusan Malaysia dan peranan media secara keseluruhan di Malaysia.
“Diharap kita semua belajar sesuatu yang berharga daripada insiden ini,” kata Mohamad Azlan sambil menambah, akhbar ini dan wartawannya hanya melaksanakan tanggungjawab tanpa sebarang prasangka terhadap mana-mana pihak.
“Hanya itu sahaja cara kami dapat membina institusi media yang dihormati,” katanya.



