KUALA LUMPUR – Kedaulatan negara tidak semestinya dirampas melalui senjata, kadangkala ia dikuburkan perlahan-lahan melalui perjanjian yang “kelihatan mesra” tetapi hakikatnya menjerat dan mendesak.
Datuk Seri Ti Lian Ker mempersoalkan tatklaa kita melaungkan slogan “Malaysia Berdaulat dan Merdeka,” tetapi merdekakah kita jika ekonomi, pelaburan dan budaya ditentukan oleh negara asing?
“Sekiranya inilah harga yang perlu dibayar untuk menjadi “rakan strategik,” maka kedaulatan ekonomi Malaysia sudahpun dikuburkan — dan kita, tanpa sedar, telah berserah.
“Perjanjian ini bukan lagi soal perdagangan, tetapi soal penguasaan dan ketundukan dasar.
“Malaysia kini terikat untuk meniru dasar Amerika dari sempadan hingga kandungan TV, dari pelaburan hingga makanan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Bekas Timbalan Menteri Perpaduan itu berkata, apabila Menteri Madani mencabar ahli Parlimen untuk menunjukkan di mana kedaulatan Malaysia terjejas dalam perjanjian perdagangan baharu dengan Amerika Syarikat (AS), mungkin cabarannya semata-mata untuk menyakinkan rakyat yang tidak mengikuti atau meneliti isi kandungan mengenai hak dan kedaulatan ekonomi negara yang kita sudahpun serahkan pada Uncle Sam .
“Kita imbas kembali dan mengingati zaman penjajahan British apabila Raja Perak menandatangani “Perjanjian Pangkor” pada tahun 1874 , melantik seorang Residen British yang “nasihatnya mesti diikuti dalam semua hal pentadbiran kecuali agama Islam dan adat Melayu”.
“Setelah itu, template yang sama digunakan untuk negeri-negeri lain — Selangor (1875), Negeri Sembilan (1878), Pahang (1888), dan akhirnya terbentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (1895).
“Akhirnya secara beransur-ansur, kuasa eksekutif, kewangan dan pentadbiran negeri berpindah kepada British, walaupun Sultan kekal sebagai ketua agama dan adat,” imbas beliau.
Lian Ker yang juga bekas pimpinan tinggi MCA berkata lagi, setelah meneliti teks Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat ( atau “Perjanjian Tambun” tahun 2025), sukar untuk kita menafikan bahawa sebahagian besar dasar dan kebebasan ekonomi negara telah dikorbankan — bukan melalui paksaan, tetapi melalui pena dan tandatangan Tambun!
Jelas beliau, artikel 2.12.1 mewajibkan Malaysia menyelaraskan dasar sempadan termasuk duti, kuota dan peraturan kastam dengan langkah yang ditentukan Amerika Syarikat.
Ini bermakna dasar perdagangan Malaysia mesti menuruti hala tuju Washington, walaupun bercanggah dengan kepentingan tempatan.
“Lebih membimbangkan, satu lagi peruntukan melarang kedua-dua negara mencabar dasar rebat cukai di WTO. Ia mengekang hak Malaysia untuk mempertahankan pengeksportnya jika dasar cukai AS menindas kita.
“Manakala, Artikel 3.3 pula mewajibkan Malaysia berunding dengan AS sebelum menandatangani mana-mana perjanjian digital yang mungkin menjejaskan “kepentingan penting AS.”
“Selain itu, Artikel 5.2.3 dan 5.1.1 tambah parah Malaysia mesti merujuk kepada AS bagi pelaburan yang melibatkan mineral kritikal dan infrastruktur strategik, serta meniru sekatan perdagangan Amerika atas alasan “keselamatan negara.”
“Inilah bentuk pengaruh ekonomi yang halus dan tajam serta mengikat,” hurai beliau.
Menurut Lian Ker lagi, Artikel 5.3.3 memberikan hak kepada AS untuk menamatkan perjanjian jika Malaysia menandatangani FTA dengan mana-mana negara yang tidak disenangi Washington.
“Itu bukan lagi diplomasi dua hala itu kuasa veto yang terselindung. Sementara Artikel 5.3.4 menghadkan Malaysia daripada membeli reaktor nuklear, bahan api atau uranium dari negara tertentu, kecuali jika tiada pembekal lain.
“Ini bermakna Amerika secara langsungnya boleh mengawal dengan siapa kita boleh berdagang dalam sektor tenaga.
“Artikel 6.2.1 menuntut agar semua GLC dan GLIC beroperasi atas dasar “pertimbangan komersial semata-mata” dan tidak boleh dilihat “mendiskriminasi” mendiskriminasi AS. Ini sudah bercanggah dengan dasar membantu “bumiputera” dan secara tidak langsung menghapuskan dasar Bumiputera? Implikasinya besar dasar pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan pembangunan sosial boleh dilihat sebagai “halangan perdagangan.”
“GLC bukan lagi alat pembangunan nasional, tetapi sekadar entiti mencari untung untuk kepentingan luar.
“Dalam Lampiran, Artikel 2.4 hingga 2.7 pula mengikat Malaysia supaya menerima kelulusan FDA Amerika bagi produk perubatan dan melonggarkan pensijilan halal bagi barangan industri AS. Ini dapat mencabar kawalan peraturan tempatan dan mungkinkah menjejaskan integriti sistem halal negara,” katanya.
Lian Ker juga merungkai, Artikel 2.20 mewajibkan Malaysia memansuhkan peraturan 80% kandungan tempatan di televisyen dan membenarkan rancangan luar negara pada waktu perdana.
“Apabila budaya dan hiburan kita ditentukan oleh luar, identiti nasional turut terhakis sedikit demi sedikit. Kemasukan dan pengaruh budaya kuning, WOKE dan LGBT dan lain-lain tidak boleh dikawal lagi?
“Tambahan pula, Artikel 2.17.2 memaksa Malaysia meratifikasi lima perjanjian antarabangsa dalam masa dua tahun tanpa keizinan Parlimen. ICERD? Ini satu penghinaan kepada proses demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara,” kata Lian Ker.



