“Yang berjoget sebenarnya ekonomi Malaysia naik semula, layanan Anwar seni diplomasi antarabangsa”

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin pembangkang cuba menimbulkan kekeliruan dan persepsi buruk terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya beliau “berlebih-lebihan” menyambut kehadiran Presiden Amerika Syarikat(AS) Donald Trump dan “berjoget” bersama dalam satu majlis rasmi.

Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar menyelar, tuduhan ini jelas bersifat murahan, dangkal, dan hanya dicipta untuk menutup ketandusan idea pembangkang sendiri dalam memahami seni diplomasi antarabangsa.

Jelas Mahfuz, diplomasi bukan tunduk seabliknya ia strategi negara berdaulat.

“Anwar tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar. Sebaliknya, beliau mengangkat kedudukan Malaysia sebagai rakan setara dalam rundingan antarabangsa.

“Perjanjian ekonomi Malaysia–Amerika Syarikat yang dimeterai baru-baru ini membuktikan kematangan diplomasi PM – Malaysia menang besar dengan pengecualian tarif terhadap 1,711 jenis barangan eksport bernilai RM22 bilion.

“Pelaburan dua hala bernilai USD150 bilion (RM715 bilion) membuka ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat.

“Yang berjoget sebenarnya ialah ekonomi Malaysia naik semula selepas lama lesu di bawah kerajaan yang dulu hanya tahu berceramah dengan makian dan fitnah, tapi gagal dalam menguruskan ekonomi negara.Menteri Besar Kedah pula banyak menyanyi tapi banyak projek tak siap siap dan tak jalan jalan,” bidas Mahfuz.

Dalam pada itu pemimpin Amanah itu juga menegaskan, diplomasi bukan bererti lupa Gaza.

Kata Mahfuz, pembangkang cuba kaitkan acara diplomatik ini dengan tuduhan kononnya Perdana Menteri telah “melupakan Gaza”.

“Ini hujah paling cetek dari mereka yang malas membaca fakta – Malaysia di bawah Anwar tetap menjadi antara negara paling lantang membela Palestin di PBB dan OIC.

“Anwar menegaskan pendirian Malaysia menentang pemindahan paksa rakyat Gaza — sesuatu yang disifatkan beliau sebagai jenayah kemanusiaan dan pembersihan etnik.

“Malah Malaysia terus menyalurkan bantuan kemanusiaan, memperkukuh hubungan dengan NGO antarabangsa dan memperjuangkan hak rakyat Palestin melalui saluran diplomatik rasmi.

“Kalau pembangkang rasa berteriak di ceramah ceramah Pas lebih berjasa daripada membawa suara Palestin ke meja rundingan dunia, itu tandanya politik mereka masih bertaraf jual ubat kuat tenaga batin di pasar malam sedangkan kerajaan pimpinan Anwar membawa politik bertaraf dunia,” tegas beliau.

Mahfuz juga menyatakan bahawa Perdana Menteri Anwar mempraktikkan diplomasi berprinsip, bukan tunduk, bukan bermuka-muka.

“Anwar tidak berlakon untuk kamera antarabangsa. Beliau membawa mesej jelas: Malaysia boleh berkawan dengan mana-mana negara, termasuk Amerika, tanpa menggadai maruah dan prinsip.

“Inilah roh diplomasi Islam rahmah — menyampaikan mesej kebenaran dengan hikmah, bukan dengan kebencian dan slogan kosong.

“Kerjasama ekonomi dengan AS bukan tanda tunduk tetapi ia strategi untuk memperkuat ekonomi rakyat Malaysia, sambil memastikan kita tetap teguh membela Palestin dan dunia Islam,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pembangkang hanya cari isu kecil kerana kerana akal mereka kecil fikirannya.

“Ketika dunia memuji langkah Malaysia menarik pelaburan, memodenkan industri, dan membuka pasaran eksport baharu, pembangkang pula sibuk menilai gerak tangan dan langkah kaki PM di majlis antarabangsa.

“Inilah beza antara pemimpin yang kerja untuk rakyat, dengan ahli politik yang kerja untuk klip TikTok.

“Kesimpulannya, PM membina semula imej Malaysia sebagai negara bebas, berprinsip dan disegani dunia.

“Beliau bukan menari untuk kuasa besar — beliau menari atas pentas diplomasi dunia dengan langkah penuh keyakinan, membawa nama Malaysia ke tempat yang lebih tinggi.

“Mereka yang memfitnah beliau “berjoget melupakan Gaza” hakikatnya mereka berjoget dengan kebodohan sendiri,” tempelak beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat