KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula bertindak termasuk memecat dan menggantung keahlian pemimpinnya yang didapati bersekongkol menentang pucuk pimpinan parti terutama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.
Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan tersebut selepas siasatan mendapati mereka melanggar Perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan ahli termasuk isu 120 akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan cubaan menjatuhkan Muhyiddin.
Bermula dengan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, parti itu turut memecat Mohd Azrudin Md Idris (Ketua Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Ketua Bersatu Bahagian Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ketua Bersatu Bahagian Ampang).
Selain itu, keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut digantung selama satu penggal.
Kelmarin, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pahang.
Ini selepas Saifuddin meminta Muhyiddin berundur bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Saifuddin berkata, kepimpinan baharu diperlukan bagi memperkukuh semula parti dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Bersatu.
Memetik laporan Utusan, pada 1 Oktober lalu, tular satu rakaman audio dipercayai milik seorang pemimpin Bersatu.
Rakaman berdurasi beberapa minit itu dipercayai dibuat dalam satu pertemuan tertutup membabitkan beberapa pemimpin PN.
Suara individu terlibat mencadangkan calon Perdana Menteri yang bukannya Muhyiddin, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai wujudnya gerakan dalaman untuk mencabar kepemimpinan beliau.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan bahawa gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin, sebenarnya telah bermula sejak 2022, dan kini mencapai kemuncaknya apabila usaha-usaha untuk mematahkan gerakan itu tidak lagi berjaya.
Beliau berkata, gerakan berkenaan turut didalangi oleh pihak tertentu yang sedang mencipta dan cuba mengangkat seseorang untuk menerajui kepemimpinan parti.
Tambah Redzuan, beliau mengetahui identiti individu-individu yang terlibat dalam usaha menjatuhkan Muhyiddin.
“Gerakan untuk mengetepikan Presiden sudah bermula sejak 2022. Sekarang perkara itu sudah sampai ke kemuncaknya kerana setiap pergerakan sebelum ini berjaya dipatahkan.
“Saya tahu siapa mereka. Gerakan ini bukan baharu, malah sudah mula dikesan sebelum Tan Sri melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2021 hasil tekanan daripada kelompok yang sama,” lapor akhbar itu pada Rabu.



