KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker mempersoalkan pendirian Malaysia di bawah Kerajaan Madani sama ada akan bertukar haluan selepas menyaksikan persembahan tarian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Beliau bimbang Perjanjian Perdagangan Baharu – Adakah Malaysia masih berkecuali?
“Apabila Trump menari-nari setibanya di Malaysia, dia sudah tahu Kerajaan Madani akan membuka pintu gerbang negara yang selama ini ditutup atas tanda “berkecuali.”
“Sejak penubuhannya pada tahun 1967, ASEAN berpegang kepada dasar tidak memihak (non-alignment). Ini bermaksud negara-negara anggotanya tidak mahu menjadi alat atau berpihak kepada mana-mana kuasa besar dunia.
“Prinsip ini diperkuat melalui Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada tahun 1971.
“Matlamatnya ialah menjadikan Asia Tenggara bebas daripada campur tangan dan pengaruh luar — sama ada dari kuasa Barat mahupun Timur,” jelas Lian Ker dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Kata beliau lagi, Malaysia sejak zaman Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengamalkan dasar luar berkecuali dan tidak bersekutu, selaras dengan keanggotaannya dalam Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Ujarnya, Malaysia menjalin hubungan baik dengan semua pihak — Amerika Syarikat, China, Jepun, Eropah dan negara Islam — dengan pendekatan yang sering digelar “berkecuali secara bijak” (smart neutrality).
“Tujuannya ialah untuk memaksimumkan manfaat ekonomi tanpa terjebak dalam konflik geopolitik,” kata Lian Ker.
Trump pada Ahad mencuri perhatian ramai sebaik tiba di Malaysia apabila secara spontan menari bersama kumpulan penari tradisional tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketibaan Trump disambut meriah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi persembahan kebudayaan penuh warna-warni sebagai tanda penghormatan kepada tetamu negara itu.
Sebaik melangkah turun dari pesawat rasmi Air Force One, Boeing 747-200B, Trump tersenyum lebar dan sempat mengikut rentak penari dengan gaya santai.
Aksi bersahajanya itu mengundang sorakan serta tepukan gemuruh daripada orang ramai yang berada di lokasi sambutan.



