KUALA LUMPUR,– Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão hari ini menyifatkan kemasukan rasmi negaranya ke dalam ASEAN sebagai detik bersejarah yang menandakan permulaan bab baharu bagi rakyat Timor-Leste satu perjalanan panjang yang akhirnya membuahkan hasil selepas lebih sedekad penantian.
Berucap pada majlis menandatangani Declaration on the Admission of Timor-Leste into ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, Xanana berkata penyertaan itu bukan sahaja merealisasikan impian rakyatnya, tetapi juga memperkukuh visi ASEAN sebagai sebuah keluarga serantau yang bersatu di bawah nilai dan aspirasi bersama.
“Bagi rakyat Timor-Leste, ini bukan sekadar impian yang menjadi kenyataan, tetapi pengiktirafan terhadap perjalanan kami yang penuh ketabahan, semangat, dan harapan. Bagi ASEAN pula, ini kesinambungan sebuah visi satu keluarga negara yang bersatu dengan takdir bersama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota ASEAN, Pengerusi ASEAN, Sekretariat ASEAN serta rakan dialog atas sokongan dan kepercayaan yang memungkinkan hari bersejarah itu berlaku.
Menurutnya, sejak permohonan rasmi dibuat pada tahun 2011, Timor-Leste telah memperkukuh institusi, melaksanakan pembaharuan dasar dan meningkatkan kesiapsiagaan bagi memenuhi piawaian keanggotaan ASEAN.
“Kemasukan ini adalah bukti semangat rakyat kami sebuah demokrasi muda yang lahir daripada perjuangan, kini memasuki era baharu kerjasama dan pertumbuhan dalam salah satu rantau paling dinamik di dunia,” katanya.-SUARA.TV
Xanana menegaskan bahawa Timor-Leste menyertai ASEAN dengan penuh rendah diri dan kebanggaan, serta berpegang teguh kepada nilai-nilai teras ASEAN seperti saling menghormati, kerjasama damai, perpaduan dalam kepelbagaian, dan solidariti serantau.
“Timor-Leste akan menjadi ahli yang konstruktif, aman dan berdedikasi. Kami berikrar bekerjasama dengan semua negara anggota untuk memastikan rantau ini kekal aman, terbuka dan makmur,” tambahnya.
Beliau berkata, keanggotaan ASEAN membuka peluang besar kepada Timor-Leste dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan ekonomi digital, serta komited mengukuhkan tadbir urus dan institusi untuk mencapai pembangunan mampan.
“Ini bukan pengakhiran perjalanan, tetapi permulaan bab baharu yang menginspirasikan. Bersama-sama, kita akan merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 sebuah ASEAN yang aman, makmur, berdaya tahan dan berfokuskan rakyat,” ujar Xanana sebelum menutup ucapannya dengan penuh emosi sebagai “anggota baharu keluarga ASEAN”.



