KUALA LUMPUR, — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan beberapa mesyuarat serantau penting.
Pesawat rasmi Air Force One yang membawa Trump mendarat pada 9.53 pagi, dan beliau disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pegawai kanan kerajaan sebaik keluar dari pesawat kira-kira 10.06 pagi.
Kunjungan ini menandakan penampilan pertama Trump di ASEAN sejak 2017, selain menjadi lawatan rasmi pertamanya ke Asia sejak beliau memulakan penggal kedua di Rumah Putih. Untuk rekod, Joe Biden merupakan presiden AS terakhir menghadiri sidang serantau tersebut pada 2022.
Sepanjang berada di Kuala Lumpur, Trump dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar Ibrahim serta menghadiri jamuan makan tengah hari bersama pemimpin Asia Tenggara.
Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memperkenalkan tema “Keterangkuman dan Kelestarian” sebagai asas perbincangan sidang kemuncak.
Menurut kenyataan Rumah Putih, Trump turut akan menyaksikan majlis menandatangani perisytiharan damai antara Thailand dan Kemboja, hasil rundingan diplomatik yang dimediasi oleh Washington selepas insiden konflik sempadan antara kedua-dua negara awal tahun ini.
Trump dijangka meninggalkan Malaysia pada pagi Isnin untuk melakukan kunjungan ringkas ke Jepun, sebelum meneruskan perjalanan ke Korea Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak APEC.



