Dalam dunia muzik yang semakin sarat dengan alunan elektronik dan kecerdasan buatan, muncul sebuah lagu yang menyentuh hati kerana kejujuran emosinya Pengubat Rindu, karya terbaru daripada rapper dan komposer tempatan Kozae, anggota kumpulan popular One Nation Emcees.
Namun, di sebalik bait-bait lirik dan melodi balada rap yang lembut itu, tersembunyi kisah yang lebih dalam tentang persahabatan, kehilangan, dan perjalanan spiritual seorang anak seni mencari makna kehidupan selepas kehilangan insan tersayang.
Pengubat Rindu bukan sekadar lagu tentang cinta yang hilang, tetapi sebuah monolog hati yang menggambarkan fasa “move on” dalam kehidupan. Apa yang menarik, lagu ini lahir selepas Kozae “bertemu semula” dengan rakan lamanya, penyanyi misteri yang dikenali sebagai NXR, di laman sosial selepas lama terputus hubungan.
Perjumpaan semula itu menjadi detik magis. Dalam perbualan ringkas mereka, timbul inspirasi untuk mencipta sesuatu yang benar-benar jujur dan dari situ, Pengubat Rindu dilahirkan.
Namun, bagi Kozae, lagu ini membawa makna yang jauh lebih peribadi. Ketika mendalami kembali lirik yang ditulis bersama Trigga dan Dan.el, beliau menyedari bahawa setiap baris kata seolah-olah mengulang kembali pesanan terakhir arwah sahabatnya, Jojoe, yang pernah menjadi tulang belakang One Nation Emcees.
“Seminggu sebelum dia pergi, Jojoe sempat berpesan ‘Kalau ingat aku, bolehlah jadikan ini sebagai pengubat rindumu.’ Ayat itu melekat sampai sekarang,” kongsi Kozae dengan nada sebak.
Ketika lagu ini mula diperdengarkan secara eksklusif kepada beberapa rakan media dan peminat, ramai menyangka suara nyanyian Pengubat Rindu dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI), kerana tona lembut dan mendalamnya mengingatkan mereka kepada legenda tanah air, Allahyarham Sudirman.
Namun, hakikatnya, suara itu milik penyanyi misteri NXR, yang menjadi sahabat dan kolaborator rapat Kozae dalam projek ini. Keaslian dan kejujuran nyanyian NXR menjadikan Pengubat Rindu bukan sekadar karya seni tetapi pengalaman emosi yang hidup dan tulen.
Selepas kejayaan kolaborasi REALITI bersama Azharina pada tahun 2024, Pengubat Rindu menandakan lembaran baru dalam perjalanan seni Kozae — lebih matang, introspektif, dan berjiwa besar.
Dicipta oleh Kozae dan Dan.el, dengan lirik hasil kerjasama Kozae, Trigga dan Dan.el, lagu ini menjadi simbol evolusi Kozae daripada bintang hip-hop yang lantang kepada seniman yang menggunakan muzik sebagai medium refleksi diri.
Bagi Kozae, setiap rentak dan bait lagu ini adalah dedikasi — bukan sahaja buat sahabat-sahabat lamanya, tetapi juga buat dirinya sendiri yang kini lebih damai menerima erti kehilangan dan pertemuan semula.
“Kadang-kadang, pengubat rindu bukanlah tentang mengisi kekosongan, tapi menerima bahawa rindu itu sendiri adalah tanda kasih yang tak pernah hilang,” katanya.
Pengubat Rindu kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music bermula 15 Ogos 2025.



