Liew Yun Fah akur keputusan Hajiji, isyarat sokong Ruji di Merotai?

MEROTAI, — Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah memberi isyarat akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Merotai selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersetuju memberi laluan kepada PH bertanding di kawasan tersebut.

Dalam catatan di Facebook bertajuk “Terima Kasih Anak Merotai”, Liew meluahkan rasa terharu terhadap sambutan masyarakat semasa majlis kenduri kesyukuran anjuran Ketua Wanita PHRS Bahagian Merotai, Hamisiah Didi di Kampung Langsat, Merotai.

“PHRS teguh bersama kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan GRS,” katanya, sambil menegaskan perjuangan untuk membela nasib rakyat Merotai akan diteruskan.

Liew menegaskan bahawa perjuangannya bukan demi kepentingan diri, tetapi untuk memastikan rakyat luar bandar, khususnya di Merotai, mendapat pembelaan sewajarnya termasuk dalam aspek hak tanah, pendidikan dan kesihatan.

Tulisan terbaharu Liew itu dilihat sebagai tanda kesetiaan kepada Hajiji dan kesediaan beliau menyumbang dalam usaha memperkukuh kemenangan blok GRS–PH di Merotai.

“Kita teruskan sampai habis, perjuangan yang telah kita mulakan. Anak Merotai, Merotai Kita,” tulisnya mengakhiri kenyataan penuh emosi itu.

Walaupun tidak menyebut secara langsung soal calon, kenyataannya dianggap sebagai mesej jelas bahawa PHRS akan menghormati keputusan Hajiji dan kekal bersama kepimpinan GRS dalam kerangka besar kerjasama GRS–PH menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Liew merupakan salah seorang tokoh berpengaruh di Merotai. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai atas tiket Barisan Nasional–LDP bagi penggal 2004 hingga 2008 sebelum digantikan oleh Pang Yuk Ming.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, Liew yang bertanding semula di kerusi sama memperoleh 1,779 undi dan berada di tempat ketiga di belakang calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Sarifuddin Hata yang menang dengan 4,058 undi, dan calon Perikatan Nasional (BERSATU/PGRS) Jalani Chachu yang meraih 2,471 undi.

Dalam pembahagian kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH, DUN N.72 Merotai telah diperuntukkan kepada PH. Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi sebagai calon mereka di kawasan berkenaan.

Semalam, Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Merotai, Haji Mohamad Jalani Cachu turut mengesahkan kepada Suara.TV bahawa beliau akan menyokong penuh pencalonan Datuk Ruji.

PGRS merupakan parti pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang menjadi komponen utama GRS.

Ikrar untuk menyokong daripada dua bekas calon PRN 2020 Liew Yun Fah dan Jalani Cachu membuka ruang besar kepada Datuk Ruji Ubi untuk mencipta kejutan terhadap penyandang, Sarifuddin Hata, yang mewakili Warisan.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat