AS bawah Biden dan Trump sudah salur RM91 bilion bantu ketenteraan Israel

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Joe Biden dan Donald Trump menyalurkan sekurang-kurangnya AS$21.7 bilion (RM91 bilion) dalam bentuk bantuan ketenteraan kepada Israel sejak tercetusnya perang di Gaza dua tahun lalu.

Perkara itu didedahkan dalam satu kajian akademik terbaharu yang diterbitkan sempena ulang tahun kedua serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang menjadi pencetus kepada konflik berpanjangan antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin tersebut.

Kajian berasingan yang turut diterbitkan oleh projek Costs of War di Sekolah Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa Watson, Universiti Brown, mendapati Amerika Syarikat membelanjakan tambahan AS$10 bilion (RM 42 bilion) lagi bagi tujuan keselamatan dan operasi ketenteraan di rantau Timur Tengah sejak dua tahun lalu.

Walaupun kedua-dua laporan itu berdasarkan sumber terbuka, hasil penemuan mereka dianggap antara laporan paling menyeluruh mengenai jumlah bantuan ketenteraan AS kepada sekutu rapatnya, Israel, serta kos penglibatan langsung tentera Amerika di Timur Tengah.

Jabatan Negara AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung angka tersebut, manakala Rumah Putih merujuk pertanyaan kepada Pentagon yang menyelia sebahagian daripada bantuan berkenaan.

Laporan itu diterbitkan ketika Presiden Donald Trump dilaporkan sedang berusaha menamatkan perang di Gaza.

Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas juga sedang berlangsung di Mesir selepas Hamas bersetuju dengan sebahagian elemen dalam pelan damai yang dicadangkan Washington.

Menurut laporan utama tersebut, Israel menerima AS$17.9 bilion (RM 75 bilion) dalam tahun pertama perang ketika pentadbiran Biden dan AS$3.8 bilion lagi (RM 16 bilion) pada tahun kedua di bawah pentadbiran Trump, lapor Agensi.

Sebahagian bantuan itu telah dihantar, manakala selebihnya akan disalurkan secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang.

Laporan berkenaan disediakan dengan kerjasama Institut Quincy untuk Dasar Bertanggungjawab, yang berpangkalan di Washington di mana sebelum ini institut tersebut dituduh oleh kumpulan pro-Israel sebagai bersikap anti-Israel dan berhaluan pengasingan, namun dakwaan itu dinafikan oleh institut tersebut.

Laporan berkenaan turut menegaskan tanpa sokongan besar-besaran daripada Washington, Israel tidak akan mampu meneruskan kempen ketenteraan intensifnya terhadap Hamas di Gaza yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa penduduk Palestin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat