KUALA LUMPUR – Pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan bukan kerana arak dihidang di majlis rasmi kerajaan.
Annuar menegaskan, sejak merdeka, Malaysia dengan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan melaksanakan dasar tiada arak di majlis kerajaan.
“Tak timbul pun isu kononnya menjadi penyebab pelancong tak datang. Tak usahlah beri alasan yang menjengkelkan. Pelancong memilih Malaysia bukan kerana arak di majlis rasmi kerajaan.
“Menteri Madani sahaja berpandangan begitu.Kononnya arak itu etika global?
“Apa lagi etika global mereka agaknya..satu demi satu belangnya makin kelihatan…adoi,” keluh Annuar.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tampil mempertahankan rakan Kabinetnya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing susulan isu hidangan minuman beralkohol pada sebuah majlis rasmi yang tular baru-baru ini menurut laporan ChinaPress.
Kor Ming berkata, sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang budaya, Malaysia perlu menunjukkan keterbukaan serta kematangan dalam urusan diplomatik dan pelancongan antarabangsa.
“Dalam majlis rasmi bertaraf antarabangsa, penyediaan minuman beralkohol adalah sebahagian daripada etika dan adat global (international etiquette). Tiada paksaan untuk mana-mana tetamu menjamahnya, justeru isu ini wajar ditangani secara rasional dan terbuka,” katanya.



