Pembangkang desak kerajaan tubuh RCI siasat skandal palsu dokumen pemain naturalisasi FAM

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menuntut supaya kerajaan segera menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat sepenuhnya skandal besar melibatkan dokumen palsu pemain naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagaimana dinyatakan dalam laporan penuh FIFA yang dikeluarkan semalam.

Ini termasuk mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam penyediaan dan pengesahan dokumen palsu, peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga, amatlah perlu meneliti sebarang kecenderungan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik.

Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) amat kesal dengan pendedahan skandal besar melibatkan dokumen palsu pemain naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagaimana dinyatakan dalam laporan penuh FIFA yang dikeluarkan semalam.

“Laporan lebih 6,000 perkataan itu menjelaskan bahawa FIFA berjaya memperoleh sijil kelahiran asal nenek moyang pemain-pemain terbabit daripada Pejabat Pendaftaran di negara asal mereka, termasuk di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

“FIFA juga mendapati dokumen yang dikemukakan oleh FAM telah diubah suai, dengan tempat lahir asal di luar negara ditukar kepada negeri-negeri di Malaysia, iaitu di Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sarawak.

“Lebih mengejutkan, JPN Malaysia dilaporkan mengaku tidak pernah menerima dokumen asal pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan sijil berdasarkan maklumat sekunder atau dengar cakap (hearsay),” katanya.

Menurut Takiyuddin, pendedahan ini nampaknya telah mengubah kes ini daripada kesilapan pentadbiran biasa kepada penipuan dan pemalsuan dokumen rasmi negara — suatu perbuatan yang amat serius dan mencemarkan maruah serta reputasi Malaysia di mata dunia.

“FIFA mendapati tujuh pemain kelahiran luar negara telah disahkan sebagai warganegara Malaysia melalui sijil kelahiran nenek moyang yang dipalsukan. Mereka juga kemudiannya diturunkan dalam perlawanan rasmi, malah dua daripada mereka telah menjaringkan gol.

“Sebagaimana ditegaskan FIFA bahawa tindakan ini adalah suatu penipuan dan jelas melanggar prinsip kejujuran dan integriti sukan. Jika FIFA sendiri boleh mendapatkan sijil asal dari luar negara dengan mudah, alasan bahawa FAM tidak dapat membuat semakan kesahihan dokumen adalah tidak munasabah dan tidak boleh diterima. Kesimpulan laporan FIFA amat jelas, iaitu pemalsuan ini bukanlah kesilapan teknikal, tetapi merupakan penipuan terancang.

“Ia juga menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem semakan dokumen oleh FAM serta agensi kerajaan seperti JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Keadaan ini turut menggambarkan Malaysia kini dilihat sebagai sebuah negara yang gagal mempertahankan integriti dan kejujuran dalam urusan rasmi antarabangsa,” katanya.

Justeru beliau menggesa, siasatan yang telus menjadi lebih mendesak apabila FAM sendiri dalam kenyataannya bertarikh 11 Jun 2025 berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam hal dokumentasi, iaitu: “Selain bantuan kewangan menerusi peruntukan khas kepada skuad Harimau Malaya, Kerajaan Malaysia turut banyak membantu sebagai pemudah cara dalam urusan dokumentasi pemain warisan baharu hingga mereka lulus untuk turun beraksi pada perlawanan kedua Kumpulan F, pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2027 itu.

“Seperti juga dalam kehidupan, kemenangan bukanlah segala-galanya. Sebaliknya kekalahan yang berpunca daripada kejujuran, sikap budiman dan semangat kesukanan yang tulen adalah jauh lebih mulia daripada kemenangan yang dicapai melalui penipuan serta ketidakjujuran,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat