CYBERJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan isu hidangan minuman beralkohol pada sebuah majlis yang didakwa melibatkan Tourism Malaysia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Zahid yang juga Presiden UMNO, menegaskan parti itu menolak sepenuhnya penganjuran acara sedemikian yang dianggap tidak wajar dan bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Saya sendiri akan membawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri atas ketidaksetujuan UMNO, dan sebagai presiden parti, kita menolak 100% acara itu kerana ia adalah acara yang tidak pernah diadakan di negara kita,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menafikan penglibatan kementeriannya dalam majlis yang dikatakan menghidangkan minuman alkohol seperti didakwa Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Tiong menjelaskan, majlis makan malam itu sebenarnya dianjurkan oleh pihak industri sempena Global Travel Meet (GTM), walaupun pada asalnya Tourism Malaysia berperanan sebagai penganjur utama.
Menurutnya, penganjur daripada sektor swasta mengambil alih acara tersebut selepas melihat potensi peluang perniagaan yang besar daripada pertemuan itu.
“Ketua pengarah Tourism Malaysia telah memohon kelulusan bagi perubahan berkenaan, dan saya memberi kebenaran mengambil kira langkah itu juga dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.



