Hajiji sindir janji Shafie, kami tiada kayu sakti, tapi kerja jalan

KOTA KINABALU, – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, membidas janji Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal untuk menyelesaikan krisis air di negeri itu dalam masa setahun.

Hajiji menyifatkan janji Shafie itu adalah cubaan mengambil kesempatan atas pelaksanaan projek yang sedang berjalan sekarang.

Hajiji menegaskan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah pun melaksanakan pelbagai projek air secara berperingkat dan terancang.

“Ada yang cerita kononnya boleh selesaikan isu air dalam masa setahun saja, yang juga bermaksud pada tahun 2026 boleh diselesaikan. Saya fikir mungkin yang dimaksudkan adalah antara penyelesaian yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan GRS selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan beberapa projek penting bagi menangani masalah air secara jangka pendek dan panjang, termasuk:

  1. Loji Rawatan Air Kogopon II di Papar – dijangka siap pada 2026.
  2. Empangan Cinta Mata di Tawau – dijangka siap Julai 2026.
  3. Loji Rawatan Air Telibong II Fasa II – telah siap.
  4. Empangan Hidro Ulu Padas dan Skim Bekalan Air Ulu Padas – dijangka siap 2030 (penyelesaian jangka panjang dengan kapasiti 6,000 juta liter sehari).
  5. Sistem Bekalan Air Luar Bandar Pitas – hampir siap.
  6. Naik taraf lima tangki simpanan di Sandakan – dijangka siap 2026.
  7. Sistem Bekalan Air Luar Bandar Lahad Datu – dijangka siap 2026.
  8. Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Semporna – dijangka siap 2026.
  9. Projek Muka Sauk LRA Limbahau – dijangka siap 2027.
  10. LRA Banggi – dijangka siap antara 2028 hingga 2029.

Hajiji turut menyenaraikan beberapa projek utama yang telah siap di bawah pentadbiran GRS, antaranya:

  1. LRA Simoangan, Kota Marudu – siap Mac 2023.
  2. LRA Kundasang – siap November 2023.
  3. UWSS LRA Telibong I – siap Januari 2023.
  4. UWSS LRA Telibong II – siap Februari 2024.
  5. UWSS LRA Kasigui – siap Ogos 2025.
  6. LRA Beaufort II – siap 2021.
  7. BALB LRA Dewata, Lahad Datu – siap 2024.
  8. LRA Semporna – siap 2021.
  9. LRA Apin-Apin, Keningau – siap 2022.
  10. LRA Ulu Mamut, Ranau – siap 2025.

“ Ada yang petik nama saya setiap hari kenapa lambat siap, tapi kami tiada kayu sakti buat hari ini esok terus siap,” katanya.

Beliau menjelaskan, semua projek ini melibatkan perancangan teknikal yang kompleks serta pelaksanaan berperingkat, dan sebahagian besar kini dalam kemajuan yang baik. Menurutnya, penyelesaian terhadap isu air di Sabah memerlukan pendekatan menyeluruh, bukan janji retorik politik.

Untuk rekod, Hajiji tidak menyebut nama Shafie namun Presiden Warisan merupakan orang yang berkempen mendakwa mampu menyelesaikan krisis air negeri dalam tempoh setahun jika kembali berkuasa.

“Jadi kalau ada individu yang berulang-ulang meratib boleh selesaikan masalah air dalam masa setahun tu, mungkin ini yang dimaksudkan beliau,” tulis Hajiji secara sinis.- SuaraTv

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat