KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam kenyataan Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben Gvir yang mengaitkan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pengganas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuduhan itu sebagai biadab sambil menegaskan anggapan itu tak wajar diberikan kepada aktivis yang membawa bekalan bantuan kemanusiaan dan bukannya senjata.
“Suaranya (Ben Gvir ini) daripada siapa… daripada ‘terrorist’ (pengganas)Israel. Jadi ‘terrorist’ (pengganas) besar (beri) gelaran. Mereka (aktivis GSF) ini tidak membawa senjata, tak bunuh orang, dia bawa makanan, minuman dan perubatan.
“Bagaimana boleh gelar mereka ini ‘terrorist’ (pengganas) ? Ini satu kenyataan yang biadab,” lapor BH pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman pagi tadi mendakwa Israel menuduh aktivis GSF yang kini ditahan rejim itu sebagai pengganas.
Terdahulu, media melaporkan Ben Gvir menuduh aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan GSF sebagai pengganas, selain mendakwa mereka kononnya membawa bahan kimia.
Menerusi video tular di media sosial, Ben-Gvir hadir di hadapan aktivis dan sukarelawan yang ditahan oleh tentera Zionis Israel, malah beliau turut dilihat memasuki salah satu kapal serta menuduh kononnya terdapat bahan kimia di situ.
Video tular itu mendapat perhatian, selain kecaman daripada pengikut di media sosial.
Difahamkan ketika ini, semua kapal dan peserta misi GSF ditahan oleh rejim Israel, di mana mereka semua sudah dibawa ke satu lokasi tahanan sementara di dalam negara berkenaan.



