KUALA LUMPUR – Umno mendengar keresahan rakyat tentang isu harga rumah, kos sara hidup, risiko pengusiran halus serta kebimbangan terhadap masa depan kampung tradisi dan tanah rizab Melayu.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) hari ini membuktikan kesungguhan Umno untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat, memastikan pembangunan bandar berlaku dengan adil dan tidak menekan golongan yang terkesan.
“Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang berlangsung hari ini adalah inisiatif Umno untuk menghimpunkan suara rakyat, pakar, aktivis masyarakat dan penduduk bandar bagi meneliti implikasi URA terhadap masa depan komuniti bandar, khususnya Melayu bandar.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir dan mengambil bahagian dalam konvensyen ini, khususnya 11 orang pembahas yang mewakili pelbagai sektor, serta semua yang mengemukakan soalan dan pandangan yang bernas juga membina.
“Insya-Allah, Umno akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat dan benteng perjuangan bangsa,” kata Timbalan Perdana Menteri itu lagi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, apa jua dasar dan undang-undang yang menyentuh kehidupan rakyat akan terus diteliti dengan penuh tanggungjawab demi memastikan pembangunan negara sentiasa berpaksikan keadilan dan kesejahteraan bersama.



