Pemuda jangan berlagak hero, ingat musuh kita cuma Israel – Ketua DAPSY

KUALA LUMPUR – Sebagai pemuda, jangan sesekali kita keruhkan keadaan mahupun menambahkan masalah dengan berlagak hero, ataupun menatijahkan ahli keluarga mangsa membuatkan keadaan lebih rimas.

Ketua DAPSY Woo Kah Leong mengingatkan, hanya ada satu musuh di depan mata kita iaitu Israel.

“Seawal subuh pagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberikan maklum balas dalam kadar segera dan bukannya menunggu orang lain untuk menyediakan teks ucapan.

“Tidak ada karenah birokrasi dan tiada bahasa berbunga-bunga yang kabur. Kenyataan rasmi yang berperingkat negara telahpun dikeluarkan serta-merta dan pendirian negara kita adalah cukup jelas, yakni bebaskan semua tahanan.

“Sebagai pemuda, jangan kita sesekali keruhkan keadaan, tambahkan masalah, berlagak hero, ataupun menatijahkan ahli keluarga mangsa menjadi lagi rimas.

“Kalau tidak mampu membantu, mendoa-doakanlah agar semua tahanan khususnya warganegara Malaysia kekal selamat,” ujar Kah Leong yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Adun Pasir Bedamar itu lagi, setiap orang ada ahli keluarga masing-masing, cuba bayangkan perasaan anda kalau yang ditahan itu adalah ahli keluarga sendiri.

“Wajib untuk kesemua kita berperanan sebagai benteng kepada Perdana Menteri untuk memaksimakan kekuatannya untuk berunding di peringkat antarabangsa.

“Hanya ada satu musuh di depan mata kita, iaitu Israel,” tegas Kah Leong.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh, pagi tadi yang mendesak kerajaan membatalkan jemputan negara ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, jika semua aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditawan Israel tidak dibebaskan segera.

Menurut Akmal, Pemuda Umno juga sedia menganjurkan himpunan besar-besaran untuk membantah kehadiran Trump ketika lawatan pemimpin itu ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, hujung bulan ini.

“Jika semua aktivis dan sukarelawan GSF terutama rakyat Malaysia tidak dibebaskan, kami mendesak kerajaan membatalkan jemputan Trump ke Malaysia atau kami Pemuda Umno seluruh negara akan turun membantah di hadapan Trump secara besar-besaran ketika lawatannya ke Kuala Lumpur,” kata Dr Akmal.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat