KUALA LUMPUR – Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia wajar memimpin suara serantau menuntut keadilan, desak Ketua Armada Bersatu Hilman Idham.
Bukannya tunduk membentangkan karpet merah kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di mesyuarat ASEAN hujung bulan ini, selar beliau.
Tegas Hilman, duit pembayar cukai haram digunakan untuk menyambut seorang yang bersekongkol dalam penindasan.
Justeru, Hilman menyatakan Armada Bersatu menggesa Kerajaan Malaysia segera membatalkan jemputan tersebut dan tegas menjelaskan pendirian bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana kuasa yang melindungi kezaliman.
“Armada mengutuk sekeras-kerasnya penahanan sukarelawan Global Sumud Flotilla, termasuk semua sukarelawan Malaysia oleh tentera Zionis Israel.
“Penahanan ini atas apa jua sebab adalah pencabulan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan terhadap semua aktivis yang sedang dalam misi kemanusiaan menuju ke Gaza.
“Pintasan oleh rejim Zionis terhadap kapal-kapal Global Sumud Flotilla yang sedang dalam pelayaran membawa bantuan kemanusiaan jelas telah melanggar konvensyen dan undang-undang antarabangsa yang secara jelas melarang apa juga sekatan dan halangan terhadap bantuan kemanusiaan khususnya yang membawa barangan keperluan asas kehidupan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Justeru Hilman yang juga Adun Gombak Setia menuntut pembebasan segera semua sukarelawan Global Sumud Flotilla khususnya warganegara Malaysia yang ditahan secara serta merta.
“Kami juga menuntut jaminan keselamatan dan kemanusiaan terhadap semua tahanan rejim Zionis.
“Kerajaan Malaysia wajib mengangkat isu ini sebagai soal kedaulatan negara dan maruah rakyat.
“Warganegara Malaysia tidak boleh dijadikan bidak catur di tangan penindas. Keselamatan mereka mesti dipertahankan sebagai satu kepentingan nasional yang melangkaui fahaman politik.
“Semua kuasa besar dan negara di rantau ini mesti Bersatu dalam misi kemanusiaan bersama,” tuntut beliau.



