KUALA LUMPUR – Pelan Damai 20 Perkara mengenai Gaza yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hanyalah satu bentuk jenayah perang yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak rakyat Palestin.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pelan tersebut bukan sahaja menghina memori puluhan ribu rakyat Palestin yang terkorban, malah menggambarkan satu cubaan penyamaran penjajahan Israel di sebalik cadangan pembangunan semula yang kononnya bersifat kemanusiaan.
Beliau berkata, pelan Trump yang disunting oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sengaja mengabaikan punca sebenar krisis iaitu penjajahan tentera Israel yang berlarutan selama beberapa dekad serta sekatan ke atas Gaza yang mengakibatkan penderitaan rakyat di wilayah tersebut.
“Pelan ini hanyalah permainan lama yang sama iaitu meruntuhkan, merampas dan membina semula untuk keuntungan, tanpa mengambil kira suara rakyat Palestin tentang tanah air mereka yang telah hancur.
“Pelan itu menjadikan Gaza sebagai makmal eksperimen neoliberalisme, menjanjikan pembangunan dan pekerjaan, sambil menutup mata terhadap punca sebenar krisis iaitu penjajahan ketenteraan oleh Israel selama beberapa dekad, sekatan berterusan dan penafian hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
“Ini adalah pelanggaran terang-terangan terhadap Konvensyen Geneva dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Namun, pelan Trump langsung tidak menawarkan kebertanggungjawaban, sebaliknya hanya membuka peluang perniagaan kepada pihak luar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu turut disokong oleh empat aktivis kemanusiaan lain termasuk Chee Yoke Ling, Jismi Johari, Charles Santiago dan Prof. Affendi Salleh.
Lebih membimbangkan, Nurul Izzah berkata, adalah bagaimana pelan itu memadamkan realiti politik Hamas masih merupakan kerajaan yang dipilih secara sah di Gaza.
“Kita boleh berdebat tentang rekod pentadbiran Hamas, tetapi faktanya adalah rakyat Palestin menggunakan hak demokratik mereka dalam pilihan raya pada 2006. Hak yang sejak itu dinafikan secara sistematik dan sering disertai keganasan oleh Israel.
“Sebaliknya, AS dan sekutunya menggunakan serangan 7 Oktober 2023 sebagai alasan kekal untuk menghukum secara kolektif, pengeboman rumah, sekolah dan hospital, pembunuhan kanak-kanak serta kelaparan terhadap orang awam,” katanya lapor Utusan.
Beliau berkata, satu penyelesaian adil mesti bermula dengan penghentian serta-merta keganasan, penghapusan sekatan ke atas Gaza serta pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka tanpa campur tangan asing.
Tegasnya, keamanan sejati hanya dapat dicapai melalui proses dekolonisasi, pengakhiran penjajahan dan sistem apartheid, serta penyelesaian politik yang mengutamakan hak dan aspirasi rakyat Palestin.
“Tiada penyelesaian yang boleh diterima melainkan berpaksikan hak dan aspirasi rakyat Palestin. Menafikan hak rakyat Palestin di meja rundingan hanyalah jaminan kepada pertumpahan darah yang tidak berkesudahan.
“Rakyat Palestin tidak memerlukan teknokrat pilihan, Tony Blair atau penguasa tentera Israel untuk menentukan masa depan mereka.
“Mereka memerlukan kebebasan untuk mentadbir sendiri, membina semula masyarakat atas terma mereka sendiri dan melaksanakan kedaulatan tanpa sekatan dan campur tangan asing,” katanya.



