KUALA LUMPUR – Pemuda Umno Pokok Sena mendesak Malaysia mengetuai suara lantang di peringkat antarabangsa, menuntut pembebasan segera para aktivis termasuk rakyat Malaysia yang terlibat, serta membawa Israel ke muka pengadilan antarabangsa.
Ketuanya Mohd Farhan Ahmad mengingatkan, jika dunia terus berdiam diri, maka kita secara tidak langsung mengizinkan kezaliman terus bermaharajalela.
“Saya, Mohd Farhan Ahmad, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pokok Sena, mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim Zionis Israel yang sekali lagi bertindak seperti lanun antarabangsa dengan menahan Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa.
“Tindakan ini bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan sifat pengecut rejim Zionis yang menyerang misi kemanusiaan yang hanya membawa harapan dan bantuan kepada rakyat Gaza yang tertindas. Ini bukan lagi isu Palestin semata-mata, tetapi isu maruah umat manusia sejagat.
“Kami tidak akan tunduk. Selagi Palestin dizalimi, selagi itulah suara kami akan terus bergema menentang keangkuhan Zionis. Ini bukan masa untuk menuding jari sesama kita. Ini bukan masa untuk bertelagah atau berlumba menjadi juara isu Palestin,” tegas Farhan.
Kata beliau lagi, ini adalah masa untuk kita bersatu padu atas nama kemanusiaan.
“Bersatu atas nama agama, bangsa dan negara untuk melawan kekejaman terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa. Kita memperjuangkan hak mereka untuk hidup, untuk makan dan minum, untuk bersekolah dan membesar dalam keamanan.
“Apa pun yang berlaku, rakyat Malaysia harus berani bersolidariti bersama saudara-saudara kita yang berada di atas kapal Flotilla Sumud.
“Mereka berada di sana demi agama dan negara, demi Palestin yang tercinta. Janganlah kita menjadi bacul dan dangkal dengan menuding jari sesama sendiri.
“Bersatulah kita, tunjukkan kemarahan dan pendirian yang tegas tanpa mengira latar belakang politik. Ini adalah perjuangan bersama. Ini adalah suara hati nurani,” ujar Farhan.



