Didakwa ugut ketua bahagian tarik balik SD jatuhkan Muhyiddin, Azmin akan dipanggil Lembaga Disiplin

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dijangka dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti itu dalam masa terdekat.

Ini berikutan kenyataan secara terbuka oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Mohamed Azmin mengugut beberapa ketua bahagian parti itu supaya menarik balik tindakan menandatangani akuan bersumpah (SD) menjatuhkan Presiden.

Seorang Ahli Lembaga Disiplin Bersatu berkata, ia bergantung kepada aduan yang dibuat oleh ahli parti dan kemudian pihak lembaga membuat siasatan sebelum pihak berkenaan dipanggil.

“Sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej parti atau membawa mudarat kepada parti adalah satu bentuk salah laku. Lembaga Disiplin terbuka untuk menerima sebarang aduan terhadap dakwaan salah laku tersebut.

“Selepas menerima aduan, pihak lembaga akan menjalankan persidangan dan melaksanakan prosedur siasatan, sama ada aduan bermerit atau sebaliknya.

“Sekiranya bermerit, pihak lembaga akan menghantar notis kepada individu tersebut (responden) untuk memberi peluang menjelaskan aduan yang dibuat ke atasnya.

“Selepas aduan diteliti, pihak lembaga akan bersidang sekali lagi untuk membincangkan syor rekomendasi yang selari Perlembagaan parti,” lapor Utusan pada Khamis.

Baru-baru ini, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor membuat pendedahan mengenai ugutan yang dibuat oleh Azmin terhadap Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustafa Ketika pertemuan antara mereka.

Menerusi perjumpaan pada 19 Ogos lalu, Azmin mengugut tidak akan memberikan watikah calon untuk bertanding dalam pilihan raya sekiranya tidak menarik balik SD berkenaan.

Ahli Lembaga itu memberitahu segala proses yang berjalan adalah mengikut Perlembagaan parti dan keabsahan keputusan adalah terjamin dan tidak berpihak.

“Ini kerana, ahli Lembaga Disiplin adalah anggota parti yang tidak mempunyai sebarang jawatan, sama ada bertanding atau menerima pelantikan di peringkat bahagian.

“Semua aduan akan didengar mengikut proses dan tatacara berdasarkan Perlembagaan. Ketelusan Lembaga Disiplin adalah terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Lembaga Disiplin turut berkata, terdapat puluhan aduan yang diterima setakat ini dan kini dalam peringkat tapisan sebelum nama yang terbabit dipanggil.

“Kita terima banyak aduan sejak kekecohan daripada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) baru-baru ini. Kita terima puluhan aduan, ada yang mengikut proses, ada yang tidak. Jadi kita akan tapis kesemuanya.

“Sebaik sahaja perkara itu selesai, kita jangkakan mereka akan dipanggil dalam masa terdekat, namun bergantung kepada setiap aduan yang diterima,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat