Polis kaitkan kematian murid darjah 4 di Senawang kes buli

KUALA LUMPUR – Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang murid sekolah di Senawang, di Seremban, tengah hari semalam, ada kaitan dengan kes buli mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah tandas sekolah berkenaan sebelum dihantar ke klinik swasta.

“Kira-kira jam 1.19 tengah hari semalam, polis menerima maklumat berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

“Mangsa dihantar guru disiplin untuk menerima rawatan di klinik terbabit, namun doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Seksyen 507C Kanun Keseksaan digunakan untuk mendakwa kesalahan yang berkaitan dengan perbuatan buli, terutama membabitkan komunikasi yang mengancam atau menghina.

Media semalam melaporkan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa dan murid sekolah berkenaan akan diberikan sokongan psikososial dan diminta tidak bimbang untuk ke sekolah susulan kejadian itu.

Alzafny berkata, sejurus maklumat diterima, polis terus ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan mendapati mangsa dikatakan ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas lelaki di sekolah kebangsaan dalam daerah ini.

Beliau berkata, pada peringkat ini kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan dan prosedur bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi menentukan punca kematiannya.

Justeru, katanya, polis menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat