Oleh Zihan Zari
KUANTAN – Seramai 100 sukarelawan dan kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berganding bahu, bergotong-royong mengutip 150 kilogram (kg) sisa buangan di pesisir Pantai Cherating berhampiran Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating, dekat sini baru-baru ini.
Aktiviti itu di bawah program Prasarana Prihatin bagi menyemarakkan ‘Hari Konservasi Laut’ dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Ianya sebagai sebahagian daripada komitmen Prasarana menyokong agenda kerajaan dalam pemeliharaan alam sekitar.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan memulihara khazanah marin negara, khususnya habitat penyu yang kian terancam akibat pencemaran plastik
Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Persekitaran & Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata, usaha tersebut seiring aspirasi syarikat untuk menjadi penyedia pengangkutan awam yang turut mendukung agenda kelestarian.
“Kami percaya setiap botol plastik dan sisa yang dikutip hari ini adalah langkah kecil tetapi bermakna untuk memastikan lautan kekal bersih.
“Prasarana terpanggil untuk memainkan peranan dalam memastikan khazanah laut seperti penyu terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah penting dalam pemuliharaan alam sekitar.
Beliau berkata, Pantai Cherating bukan sahaja destinasi pelancongan, malah habitat penting bagi penyu mendarat dan bertelur.
“Usaha pemuliharaan spesis penyu memerlukan kesinambungan jangka panjang.
“Dari Januari hingga Julai lalu , sebanyak 601 ekor ibu penyu telah direkodkan mendarat di Pantai Cherating, menghasilkan 45,418 biji telur,” katanya.
Ujarnya, pembersihan pantai ini adalah sebahagian daripada siri usaha berterusan Prasarana dalam pemuliharaan laut, termasuk projek tren LRT yang dijadikan tukun tiruan di Pulau Tioman, Pahang, serta program pembebasan anak penyu di Segari, Perak pada tahun lalu.
“Komitmen Prasarana terhadap kelestarian tidak terhad kepada penyediaan pengangkutan awam yang efisien, malah memastikan setiap inisiatif yang dijalankan memberi nilai kepada alam sekitar dan masyarakat.
“Usaha kecil seperti pembersihan pantai ini adalah sebahagian daripada langkah berterusan untuk mewujudkan masa depan yang lebih bersih dan lestari, ”ujarnya lagi.
Proses kutipan, pengasingan dan penimbangan sisa dijalankan dengan sokongan rakan strategik, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating, yang turut membantu merekodkan data mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Antara sisa yang ditemui termasuk plastik, polisterin, tayar terpakai dan pukat nelayan. -SUARA.TV



