KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak Datuk Puad Zarkashi supaya tidak berlagak suci kerana hakikatnya bertanding dalam pilihan raya memerlukan kos jutaan ringgit.
Menteri Besar Kedah itu menyelar Puad agar tidak berpura-pura naif tentang realiti belanja besar dalam setiap proses pengundian membabitkan parti politik termasuk sebelum dipilih menjadi calon.
“Tak payah berlagak suci laa Puad… hang sendiri habih berapa juta masa pilihan raya dulu?
“Nak dipilih jadi calon dalam BN pun kena berabih duit, masuk pilihan raya kena habih berjuta… cuma mungkin bukan duit poket hang sendiri, mana dapat duit tu hang sendiri pun tau. Tu pun tak tentu boleh menang,” bidas Sanusi kepada ahli MKT Umno itu.
Sanusi juga mengingatkan Puad, bukan saja semasa pilihan raya umum bahkan sewaktu bertanding dalam parti berebut jawatan dalam parti juga perlu belanja jumlah wang yang besar.
“Bukan saja masa pilihan raya umum, masa bertanding dalam parti berebut jawatan dalam bahagian, berebut nak jadi perwakilan dan nak jadi MKT pun hangpa kena berabih duit… tu pun belum tentu menang… hang ingat orang tak tau? selar Sanusi.
Puad sebelum itu, mempersoalkan dakwaan Pas bahawa parti itu hanya bergantung kepada kutipan dana “tin milo” bagi membiayai kos kempen pilihan raya.
Puad membangkitkan isu tersebut susulan kenyataan Sanusi yang menafikan Bersatu pernah menyalurkan dana politik kepada partinya.
Sebaliknya, Sanusi mendakwa Pas mengumpul dana melalui sumbangan kecil daripada rakyat.
Namun, Puad menolak dakwaan itu sebagai tidak munasabah, dengan merujuk kepada kenyataan Sanusi sendiri sebelum ini bahawa kos untuk memenangi sebuah kerusi Parlimen boleh mencecah sekurang-kurangnya RM1 juta.



