KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa meramalkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal menyaksikan satu permuafakatan nasional yang besar sekali gus menamatkan keraguan dan ketidakstabilan yang memanjang.
Presiden Muafakat Nasional (MN) itu berkata, pasca Mesyuarat Agong tahunan parti -parti utama menunjangi PN iaitu Pas dan Bersatu beliau menjangkakan akan terjelma satu muafakat politik yang lebih besar dan matang.
“Segala “knee-jerk reaction”akan membawa kepada konsolidasi dan tindakan strategik ‘payung besar’ yang sedang membentuk.
“Kita perlu kembali kepada formula negara yang berteraskan kebersamaan kelompok teras iaitu orang Melayu dan umat Islam tanpa meminggirkan kelompok lain yang jujur mendukung Perlembagaan serta asas asas pembinaan negara bangsa bernama Malaysia, dengan Islam mendaulat sebagai agama bagi Persekutuan,” kata ahli Pas itu dalam kenyataan media pada Jumaat.
Ujar Annuar, Pas memilih cara yang cermat serta bijaksana serta tidak di lambung emosi.
Malah katanya Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan jangan ghairah dengan jawatan kelak nanti “tersungkur”.
“Alhamdulillah Muktamar Pas telah melabuhkan tirainya bersama pemilihan dan perlantikan saf pimpinan sessi 2025-27,penuh tertib dan mesej yang padu dan jelas.
“Pertama kali dalam sejarah Muktamar Pas menjadi tarikan dan mendapat perhatian umum yang begitu hebat dari semua pihak.Jelaslah pengaruh Pas begitu terserlah dalam landskap politik masa kini.
“Meskipun terdapat beberapa “reaksi” dari perwakilan terhadap isu isu luaran,namun fokus Pas tidak lari daripada ucapan dasar Presiden dan taujihad menerusi ucapan penggulungannya.
“Isyarat yang di simpulkan adalah jelas.Keyakinan pada dasar Islam sebagai jalan penyelesaian serta kesediaan Pas memimpin sesuai mandat yang rakyat berikan,” ujar bekas Setiausaha Agung Umno itu.
Annuar menambah, fokus Pas adalah menggapai kemenangan dengan mendahulukan penyatuan orang Melayu dan umat Islam tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.
Malah kata beliau, Pas tanpa ragu mengisytiharkan hak dan kebebasan beragama bagi bukan Islam terus terpelihara,jika berkuasa.
“Pas juga memperagakan politik matang dengan terus menerus memberi komitmen pada muafakat politik melalui taawun dan taayush bersama Perikatan Nasional (PN).
“Pada masa yang sama Pas menegaskan prinsip kesederhanaan dan keterbukaan berkerjasama dengan semua pihak lain yang tidak “extreme”. Sekali gus Pas menolak perkauman dan sikap melampau.
“Begitu juga Bersatu yang melabuh tirai mesyuarat tahunannya.Walau terdapat sedikit kemelut dalaman,kita percaya ia mampu mengukuhkan lagi keberadaan Bersatu,terutama dengan sikap terbuka Presiden dan Timbalannya,” ujar Annuar.



