KUALA LUMPUR – Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir ditangguhkan susulan kebocoran maklumat berkaitan seorang saksi kanak-kanak.
Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata beliau kecewa dengan kebocoran itu kerana ia akan melambatkan prosiding yang memasuki hari ke-10, hari ini, lapor Harian Metro di Kota Kinabalu pada Jumaat.
“Saya rasa ini juga satu peringatan yang mesti saya berikan kepada orang awam, apabila berlaku kebocoran atau gangguan, ia pasti menjejaskan perjalanan inkues.
“Inilah yang berlaku hari ini. Sekarang saksi berasa terancam akibat tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu. Saya tidak tahu siapa.
“Saya amat kecewa tetapi tiada pilihan. Jadi, kita akan sambung pada Isnin,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Datuk Ram Singh mengambil langkah sewajarnya untuk membuat laporan polis dengan segera, supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran.
Ram, yang mewakili saksi kanak-kanak dirujuk sebagai Pelajar A, mendedahkan bahawa maklumat berkenaan sudah tular sebelum dibentangkan di Mahkamah Koroner.
Dalam sidang media, peguam saksi kanak-kanak itu, Datuk Ram Singh, berkata pihaknya kecewa kerana segala persiapan yang dilakukan akhirnya terjejas selepas kenyataan saksi bocor.
Beliau berkata hanya dua perenggan awal dan perenggan terakhir yang memerlukan tandatangan telah tersebar di media sosial.
“Kami juga menerima semua nama, lima nama (kanak-kanak yang dituduh) terutama yang menumpukan kepada anak guam saya.
“Itu tidak betul. Bagi saya, itu satu bentuk intimidasi. Pegawai pengendali juga telah menyatakan bahawa perkara ini akan diteliti.
“Saya simpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka terpaksa melalui situasi ini,” katanya sambil menambah bahawa kanak-kanak itu menangis apabila ditanya sama ada dia mampu memberi keterangan hari ini.
Pada Isnin, prosiding akan dijalankan secara tertutup ‘in camera’ dengan saksi kanak-kanak berada di bilik saksi.
Bagi prosiding ini, selaras dengan Akta Saksi Kanak-Kanak, saksi akan berada di bilik saksi dengan bantuan seorang jurubahasa serta seorang pendamping pilihan mereka.
“Tetapi pendamping itu mestilah bukan saksi berpotensi. Jika dianggap sebagai saksi berpotensi, maka orang lain perlu dilantik, sebaik-baiknya ahli keluarga terdekat.
“Dari segi susun atur tempat duduk, kanak-kanak itu akan berada di hadapan kamera, dengan pendamping di belakang tetapi tetap kelihatan di kamera,” kata Ram.
Mahkamah Koroner juga membenarkan pegawai undang-undang dari Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Undang-Undang Sabah hadir dalam prosiding.



