KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada Pas bertanya kepada Bersatu sebelum menerima dana belanja kos pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang katanya telah ditanggung sepenuhnya oleh Parti Bersatu.
Puad juga mempertikai sumber dana yang diperolehi PN sedangkan gabungan politik baru saja ditubuh ketika menghadapi PRU15.
“Sengketa Pas-Bersatu melarat pasal duit pilihan raya pula. Tuduhan (Datuk Seri) Sanusi memang pedas. Sebiji kena ke muka (Tan Sri) Muhyiddin. Sampai suruh gantung kain batik.
“Tetapi serangan balas Bersatu oleh Dr Marzuki menimbulkan beberapa persoalan terhadap Pas. Pertama, PAS tidak tahu bersyukur. Bersatu susah payah sediakan dana hingga PAS menang 43 kerusi. Kini giliran kain sarung Pas terlondeh.
“Kedua, apakah Pas parti yang rela bersubahat? Adakah Pas tanya dari mana sumber dana politik Bersatu? Apakah duit halal atau duit rasuah?
“Kita tidak lupa pengakuan (Tan Sri) Annuar Musa. Masa PRN Sabah 2020, dia masuk bilik hotel Muhyiddin. Dia kata, “duit berlonggok atas katil” selar Puad.
Speaker DUN Johor itu menyebut, sekarang Pas-Bersatu gaduh pasal duit pilihan raya.
“Marzuki kata belanja minimum untuk satu parlimen ialah 1 juta ringgit.
“Patut PN nampak mewah masa PRU ke 15. Sedangkan PN baru tubuh. Mana dapat duit? soal Adun Rengit itu lagi.
Sebelum itu, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan bahawa keseluruhan kos pilihan raya PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu.
Beliau menjelaskan, anggaran kos minimum bagi satu kawasan Parlimen boleh mencecah RM1 juta, dan jumlah sebenar berpotensi lebih besar bergantung kepada keadaan setempat.
Menurutnya, Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan PRU15 apabila mereka bertanding menggunakan logo PN dan semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.
Kenyataan beliau menyusul Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang menegur rakan komponen dalam PN agar bersama-sama membuat persiapan dalam bentuk kewangan untuk pilihan raya akan datang.
Sanusi berkata, Pas sebelum ini banyak berkorban menyediakan kewangan dan peralatan ketika berkempen termasuk mengerahkan jentera memenangkan setiap calon PN.
Beliau berkata, parti terbabit kemudian dilihat mahu menjadi ketua namun gagal menyedari realiti kekurangan yang dialami oleh mereka.



