KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad, tampil menjawab sindiran Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggesa rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak hanya bergantung kepada jentera PAS tanpa menyumbang dana mencukupi.
Menurut Marzuki, pengalaman PRU15 jelas menunjukkan sebahagian besar kos pilihan raya PN ditanggung oleh Bersatu, termasuk bantuan kewangan yang signifikan kepada PAS.
“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS,” katanya dalam kenyataan balas.
Beliau menambah, kemenangan PAS sebanyak 43 kerusi Parlimen pada PRU15 yang terbesar dalam sejarah parti itu adalah hasil daripada kerjasama dan sokongan Bersatu dalam menyediakan kelengkapan kempen serta dana pilihan raya.
Marzuki juga bersetuju dengan anggaran Sanusi bahawa kos minimum untuk bertanding di satu kawasan Parlimen sekitar RM1 juta, namun menegaskan jumlah sebenar sering lebih tinggi bergantung kepada saiz kawasan, jumlah pengundi serta faktor logistik terutama di Sabah dan Sarawak.
“Jumlah RM1 juta ini bagi saya bare minimum. Kalau serius nak menang pilihan raya jumlahnya mungkin lebih besar. Kalau di Sabah dan Sarawak jumlahnya lebih besar kerana kos logistik yang tinggi,” jelasnya.
Beliau turut menghuraikan, perbelanjaan pilihan raya tidak terhad kepada bahan kempen seperti bendera, poster, papan iklan, kain rentang, topi dan baju sahaja, tetapi turut melibatkan kos latihan jentera serta elaun untuk Polling Agent dan Counting Agent (PACA).
“Kalau tak diberi elaun, mereka ponteng. Siapa nak perhati proses membuang undi dan mengira undi kalau mereka ponteng? Kalau ada penipuan kerana tiada PACA di tempat mengundi, parti akan kalah,” katanya.
Selain itu, katanya, kos mengangkut pengundi menggunakan van, kereta dan motosikal juga perlu ditanggung termasuk elaun pemandu dan minyak kenderaan. Malah, terdapat pengundi yang tidak keluar mengundi jika tidak dijemput.
“Mak Senah dan Pak Maun yang menunggu di pintu rumah tak keluar mengundi sebab tak ada orang jemput. Kalau parti kalah sebab kurang dua undi tak ke menyesal,” ujarnya.
Beliau menegaskan, ini belum termasuk kos kajian pilihan raya, kos pengiklanan di media massa dan media sosial, serta pengurusan bilik gerakan parti.
“Pilihan raya ini belanjanya besar. Tidak kira parti mana pun, inilah kos yang terpaksa ditanggung,” kata Marzuki, sambil menegaskan semasa PRU15 PAS tidak menghadapi masalah besar kerana semua peralatan pilihan raya berlogo PN ditanggung oleh Bersatu.
Sanusi sebelum ini dalam ucapannya pada Muktamar PAS ke-71 menegur rakan gabungan PN agar sama-sama mencari dana pilihan raya, bukan sekadar “syok guna jentera” PAS dan mahu menjadi ketua tanpa memikul beban kewangan.-Suara.TV



