Israel serang Qatar sebab lindungi, biaya Hamas- Netanyahu

BAITULMAQDIS- Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mempertahankan tindakannya menyerang pejuang Hamas di Qatar minggu lalu dengan alasan hubungan negara Teluk itu dengan kumpulan berkenaan.

Katanya, Qatar mempunyai kaitan dengan pejuang Hamas serta memberi perlindungan dan membiayai kumpulan itu, sekaligus mempunyai pengaruh besar yang boleh digunakan.

“Justeru tindakan kami adalah sepenuhnya dibenarkan,” tegas Netanyahu.

Serangan terhadap mesyuarat pemimpin Hamas di Doha itu adalah serangan pertama Israel terhadap Qatar yang juga sekutu Amerika Syarikat (AS).

Pengeboman itu meragut enam nyawa, namun menurut Hamas dan sumber Israel yang dipetik media tempatan, tiada seorang pun daripada pemimpin utama Hamas yang menjadi sasaran, terbunuh.

Sebagai tindak balas, Qatar pada Isnin mengadakan sidang tergempar Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menghimpunkan hampir 60 negara untuk menuntut tindakan tegas terhadap Israel.

Negara Teluk itu juga memainkan peranan penting sebagai pengantara antara Israel dan Hamas dalam rundingan gencatan senjata serta pembebasan 251 tebusan Israel yang ditawan pejuang Palestin ketika serangan berkenaan.

Antara 2018 hingga 2023, Qatar menghantar jutaan dolar setiap bulan dalam bentuk bantuan tunai dan peruntukan kepada Gaza dengan kelulusan kabinet Netanyahu ketika itu.

Awal tahun ini, media Israel melaporkan dua pembantu Netanyahu sedang disiasat agensi keselamatan dalaman, Shin Bet, kerana didakwa menerima bayaran daripada Qatar.

Skandal itu, digelar “Qatargate”, mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan pengaruh Qatar terhadap Pejabat Perdana Menteri Israel.

Netanyahu yang dipanggil memberi keterangan dalam siasatan berkenaan pada Mac lalu menolak dakwaan berkenaan.

Media Israel turut mengaitkan pemecatan Ketua Shin Bet, Ronen Bar serta percubaan menyingkirkan Peguam Negara, Gali Baharav-Miara dengan peranan mereka dalam siasatan terbabit.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat