Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘GM’ sempena Sambutan Hari Malaysia 2025.
Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli berkata, penawaran NPI adalah secara bidaan dalam talian melalui Sistem JP JeBid kepada orang awam.
Beliau berkata, tanda indeks ‘GM’ membawa maksud ‘Gemilang Malaysia’ bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara dalam bulan kemerdekaan negara.
“NPI siri GM akan mula dibuka untuk bidaan kepada orang ramai mulai 16 September (Selasa) dan akan ditutup jam 10 malam pada 20 September 2025 (Sabtu).
“Tarikh keputusannya pada 21 September 2025 (Ahad) dalam tempoh 24 jam,”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, harga bidaan dalam JP JeBid adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan iaitu, Nombor Bernilai Utama (Golden) – RM20,000; Nombor Premium RM5,000; Nombor Menarik (Attractive) RM2,500; Nombor Popular RM500 dan Nombor Biasa (Running) RM300.
“Kaedah penawaran ini secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan melalui Sistem JP JeBid.
“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaaan rasmi dikeluarkan, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, orang awam dialu-alukan untuk menyertai bidaan NPI dan pembida yang berjaya akan ditawarkan dengan dua keping tiket Festival Super GT Malaysia 2026 dengan membuat penebusan tiket melalui e-mel gm@supergtmalaysia. -SUARA.TV



