PM Anwar Ibrahim Kecam Serangan Israel ke Atas Doha, Desak Dunia Ambil Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR, — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha, Qatar, sambil menyifatkan ia sebagai pencabulan kedaulatan sebuah negara berdaulat dan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataannya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Anwar berkata tindakan Israel itu adalah perbuatan “rakus dan biadab” yang menggugat kestabilan rantau dan menjejaskan usaha perdamaian yang digerakkan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani. “Menyerang Doha bererti menyerang usaha perdamaian seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa,” tegasnya.

Anwar turut mengingatkan bahawa Gaza masih terus ditenggelami darah dengan hospital, kediaman dan anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban. Beliau menuduh Israel semakin jelas menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan bentuk apartheid kekal, dan menafikan hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka. Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan kecaman semata-mata tidak lagi mencukupi, sebaliknya masyarakat antarabangsa mesti mengambil langkah nyata termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis.

Nada tegas Malaysia ini seiring dengan kemarahan Qatar sendiri. Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Qatar menyifatkan serangan tersebut sebagai “terrorisme negara”, dengan amaran bahawa ia memusnahkan sebarang harapan bagi pembebasan tebusan di Gaza serta merosakkan inisiatif perdamaian yang lama diusahakan Doha. Emir Sheikh Tamim dalam ucapannya pula menegaskan bahawa dunia Arab dan Islam tidak boleh lagi hanya mengeluarkan kecaman, sebaliknya mesti bertindak menyeluruh untuk mempertahankan kedaulatan dan keadilan.

Gelombang kecaman sama turut bergema daripada negara-negara Arab dan Islam lain. Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, menuduh tindakan Israel itu menghalang peluang perjanjian damai baharu di rantau tersebut. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran terang undang-undang antarabangsa dan kedaulatan Qatar. Di Abu Dhabi, kerajaan Emiriah Arab Bersatu memanggil diplomat Israel bagi menyatakan protes rasmi, manakala Raja Jordan menyeru agar tindak balas yang “jelas, tegas dan mampu memberi kesan pencegahan” segera digerakkan.

Tidak ketinggalan, Perdana Menteri Iraq mencadangkan pembentukan jawatankuasa bersama Arab-Islam untuk membawa pendirian bersepadu ke PBB dan badan antarabangsa. Semua ini memperlihatkan kesepakatan dunia Islam bahawa serangan Israel ke atas Doha bukan sekadar isu Qatar, tetapi serangan terhadap maruah dan keamanan seluruh rantau.

Anwar menutup kenyataannya dengan menegaskan bahawa Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Qatar, Palestin, dan semua bangsa yang memperjuangkan keadilan. “Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman serta kekuatan mempertahankan kebenaran dan maruah umat,” katanya.- Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat