KOTA KINABALU, – Insiden tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang telah menyebabkan tiang menara penghantaran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tergelincir, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada hampir 230,000 pengguna di Pantai Timur Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata daerah yang terjejas termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.
“Pasukan teknikal SESB kini sedang bekerja 24 jam tanpa henti untuk melaksanakan usaha pemulihan segera. Antara langkah yang diambil ialah kerja-kerja pintasan bekalan (conductor bridging), pemasangan menara kecemasan dalam tempoh lapan hari sebagai langkah jangka pendek, dan seterusnya pembinaan menara kekal,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri amat memahami kesulitan yang dihadapi rakyat ketika ini.
“Marilah kita terus satukan hati dan berdoa sebagai rakyat Sabah supaya semuanya dapat dipermudahkan, terutama sekali bagi mereka yang dilanda musibah ketika ini,” ujarnya.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa semua agensi berkaitan digerakkan segera untuk memastikan proses pemulihan berjalan lancar demi kepentingan rakyat di kawasan terjejas.



