Adakah SPRM ikut standard siasatan sama rata kes Farhash? – Adun Warisan persoal ‘kepantasan’ henti siasatan

KUALA LUMPUR – Semakin ramai pihak membantah keputusan pihak berkuasa menghentikan siasatan berkaitan rasuah terhadap Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, terutama ketika masih wujud persepsi tiada tindakan diambil terhadap ahli politik yang terlibat dalam skandal lesen perlombongan di Sabah itu.

Terbaru, Adun Warisan Calvin Chong menyuarakan kebimbangan terhadap ‘kepantasan’ dan cara SPRM mengendalikan siasatan berhubung skandal itu dan membandingkan siasatan yang masih berjalan ke atas lapan Adun di Sabah.

“Bagaimana SPRM boleh menjalankan siasatan dan membuat kesimpulan bahawa tiada pertuduhan boleh dikenakan terhadap Farhash dalam tempoh yang begitu singkat?”

“Kes ini nampak terlalu cepat diselesaikan, terutama jika dibandingkan dengan kes lapan Adun dan Speaker Dewan Negeri. (Kes berkenaan) sudah lama diketahui umum tetapi masih tiada perkembangan atau maklumat baru daripada SPRM,” katanya memetik Malaysiakini pada Rabu.

Calvin menegaskan perkara itu menimbulkan persoalan serius, termasuk mengapa siasatan terhadap Farhash diselesaikan “dengan cepat” sedangkan kes yang melibatkan ramai wakil rakyat masih berlarutan “tanpa hasil yang jelas”.

“Adakah SPRM menggunakan standard siasatan yang sama rata kepada semua pihak, atau wujud persepsi dwistandard bergantung kepada individu yang terlibat?

“SPRM digesa menjelaskan perbezaan pendekatan ini serta memberikan kemas kini berkala kepada orang ramai berhubung siasatan ke atas Adun Sabah,” tegas beliau.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kes membabitkan Farhash, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah ditutup kerana antaranya tiada isu tadbir urus.

Azam menjelaskan agensi itu telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), yang kemudian memutuskan tiada sebarang pertuduhan jenayah boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat