Oleh Zihan Zari
KUALA LANGAT – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
(PETRA) menegaskan peranan penting masyarakat dan komuniti setempat melalui Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sejak 2020 sebagai salah satu usaha melindungi kelestarian sungai iaitu sumber air utama negara.
Ketua Setiausaha (KSU) PETRA, Dato’ Hj. Mad Zaidi Mohd Karli berkata DSK bertujuan mewujudkan sense of belonging, meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab bersama di kalangan masyarakat dan komuniti untuk menjaga kelestarian dan keindahan sungai sekaligus mengurangkan kejadian pencemaran sungai.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perasmian Denai Sungai Langat, di Batu 8 Sijangkang, Mukim Telok Panglima Garang, dekat sini baru-baru.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib.
Menurut Mad Zaidi, pembinaan denai juga dapat menggalakkan aktiviti di kawasan sungai dan merangsang ekonomi seperti eko-pelancongan sungai.
Projek Denai Sungai Langat, Kuala Langat yang bermula pada 7 April 2025 dan siap pada 2 Jun 2025 melibatkan penaiktarafan denai sepanjang 1.3 km.
Pengunjung kini boleh menikmati denai sejauh 2.6 km bagi satu pusingan lengkap.
Lokasinya terletak bersebelahan Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang yang sebelum ini adalah tapak pembuangan sampah haram dan telah ditransformasikan kepada kawasan rekreasi pendidikan dan pelancongan mampan hasil kerjasama komuniti.
Bagi tahun 2025, sebanyak 35 program DSK yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk 6 program DSK di Negeri Selangor.
PETRA merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor atas kerjasama erat menjayakan program DSK serta komitmen bersama terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan sungai sejajar dengan teras kemampanan dan kesejahteraan dalam Malaysia MADANI.-SUARA.TV



