KUALA LUMPUR -Wanita yang ditahan kerana menceroboh naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak 2025 kelmarin, direman 3 hari.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab ke atas suspek berusia 41 tahun dalam prosiding yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Terdahulu, suspek yang berpakaian hitam itu tiba di pekarangan IPD Ipoh pada pukul 10.15 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum proses permohonan reman terhadapnya selesai kira-kira sejam kemudian, lapor Utusan di Perak.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perintah tahanan reman ke atas wanita itu bermula semalam sehingga Rabu ini.
“Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini semalam dikejutkan dengan kejadian seorang wanita yang menceroboh naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin.
Wanita yang memakai kemeja dan seluar hitam itu pada awalnya dilihat masuk melalui bahagian tepi pentas utama dan berdiri di barisan belakang sebelum dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.
Kejadian yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu bagaimanapun berjaya dihentikan pasukan keselamatan yang bertindak menahan suspek.
Berdasarkan semakan, wanita warga tempatan itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain memiliki rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati wanita terbabit negatif daripada mengambil bahan terlarang.



