MP Libaran sokong cadangan tangguh RUU URA 2025, gesa libat urus menyeluruh

KOTA KINABALU — Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menyokong penuh cadangan Menteri Luar merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 ditangguhkan untuk memberi ruang kepada sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Menurut beliau, meskipun secara teknikal RUU berkenaan hanya terpakai di Semenanjung Malaysia, implikasinya tetap akan dirasai di Sabah dan Sarawak, khususnya dalam aspek ekonomi, kewangan serta pasaran perumahan nasional.

“Di Sabah, majoriti tanah adalah berstatus Country Lease atau Town Lease dengan tempoh 99 tahun. Jika model URA dijadikan rujukan dasar, ia berpotensi menekan pemilik tanah yang sudah membangunkan kediaman, terutama di kawasan bandar bernilai tinggi.

“Beban kos pembangunan semula tidak hanya menjadi isu di Semenanjung, malah boleh menjejaskan rakyat Sabah dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, mekanisme pembangunan semula yang terkandung dalam URA juga menimbulkan kebimbangan dari segi pinjaman perumahan.

“Tempoh pinjaman rumah lazimnya mencecah 30 hingga 35 tahun. Namun, melalui mekanisme URA, kediaman boleh dipaksa terlibat dalam skim pembangunan semula meskipun baki pinjaman belum diselesaikan.

“Keadaan ini menjerat rakyat, khususnya golongan B40, yang bukan sahaja menanggung hutang tetapi juga berisiko kehilangan kediaman yang sedang mereka bayar,” jelasnya.

Suhaimi turut berpendapat RUU berkenaan cenderung memihak kepada pemaju, berbanding rakyat.

Ia juga jelasnya membuka ruang penguasaan tanah strategik oleh pihak swasta, manakala rakyat kecil kehilangan kuasa terhadap harta mereka.

“Kuasa luar biasa yang diberikan kepada Menteri menimbulkan kebimbangan kerana mudah disalahgunakan, bercanggah dengan semangat federalisme, malah boleh dipersoalkan dari sudut Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak terhadap harta,” ujarnya.

Beliau berkata, selain rakyat, pemaju juga terdedah risiko kerana terpaksa mengambil bridging loan untuk menampung kos projek, sebelum kos tersebut akhirnya dipindahkan kepada pembeli.

Keadaan itu menurutnya, hanya menjadikan pasaran perumahan semakin tidak stabil.

Sehubungan itu, beliau menegaskan URA 2025 perlu ditolak atau sekurang-kurangnya ditangguhkan sehingga kerajaan melaksanakan libat urus secara menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan, termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat