Nazri gesa naik taraf ASWARA demi kelangsungan produk seni negara

KUALA LUMPUR, – Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan bahawa Malaysia berisiko kehilangan produk seni asli sekiranya dasar pembangunan pendidikan dan ekonomi terlalu menumpukan bidang profesional serta teknikal semata-mata.

Beliau menegaskan, seni bukan sekadar aspek hiburan, tetapi sebahagian daripada jati diri bangsa yang wajar diperkasa setanding dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Kalau semua mahu jadi jurutera, doktor atau peguam, siapa yang akan melukis, mencipta karya muzik atau menulis sastera? Seni adalah produk budaya yang bukan sahaja mengangkat imej negara, malah mempunyai nilai ekonomi yang besar dalam ekosistem industri kreatif global,” katanya ketika merasmikan Galeri Lukisan Ruang Teduh di Menara 106 Tun Razak Exchange (TRX), di sini hari ini.

Aswara perlu dinaik taraf segera*

Dalam ucapannya, Nazri turut mendesak kerajaan supaya menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kepada universiti penuh, sebagaimana yang pernah dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum 2018.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi meningkatkan taraf pendidikan seni di negara ini agar seiring dengan institusi pengajian tinggi lain di rantau Asia Tenggara.

Nazri turut menekankan bahawa sektor seni dan budaya tidak wajar dipandang ringan kerana ia sebahagian daripada ekonomi kreatif, yang kini menjadi pemacu baharu pembangunan banyak negara.

“Malaysia mempunyai bakat seni yang tidak kurang hebatnya. Masalahnya ialah kita tidak memberikan sokongan yang cukup konsisten. Dengan adanya infrastruktur, dana dan dasar yang jelas, seni boleh menjadi sumber pendapatan besar untuk negara,” katanya.

Pameran Rasa sempena Hari Kebangsaan

Dalam pada itu, Galeri Ruang Teduh turut menganjurkan pameran khas bertajuk Rasa sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68. Pameran ini menghimpunkan 31 pelukis tempatan dengan karya-karya bertemakan identiti, semangat patriotik dan ekspresi kebebasan.

Antara yang menjadi tarikan ialah lukisan yang menggambarkan perjalanan Malaysia daripada sebuah negara agraria menuju ke arah negara moden, serta karya abstrak yang menzahirkan ‘rasa’ cinta terhadap tanah air. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat